
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hari ini (4 November), Mahkamah Rayuan Putrajaya melepas dan membebaskan Pendakwah Selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful dari pertuduhan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.
Keputusan tersebut dibuat setelah mendapat majoriti 2-1 dengan hakim Datuk Azman Abdullah yang mengetuai panel dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membenarkan rayuan itu manakala Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menentang keputusan tersebut.
Jelas Azman ketika keputusan itu dibacakan, pembelaan perayu telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah.
Baca Artikel Berkaitan: Da’i Syed Lepas & Bebas Tuduhan Merogol, Menangis Selepas Dengar Keputusan
Kelakuan Wanita Selepas Kejadian & Komunikasi Berterusan Jadi Asas Da’i Syed Dibebaskan
Malah menurutnya, kelakuan wanita yang terus berhubung dengan Da’i Syed beberapa bulan selepas kejadian termasuk mengajaknya untuk berjumpa semula menjadi antara faktor Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan rogol itu.
Tambah Azman, mahkamah turut mengambil kira mesej perbualan Instagram dan WhatsApp di antara wanita itu bersama Da’i Syed yang menunjukkan komunikasi berterusan tanpa luahan rasa marah, kesal atau sedih dengan kejadian yang didakwa berlaku pada 11 September 2019.
Malah, tindakan wanita berkenaan yang menghantar mesej ‘Safely arrived’ selepas pulang ke rumah selain turut memulakan perbualan secara santai dan berusaha untuk mengajak pendakwah itu berjumpa kembali turut diambil kira oleh mahkamah.
Wanita Tidak Tinggalkan Rumah Sewa Pada Malam Kejadian
Dalam penghakiman itu juga, mahkamah menjelaskan wanita berkenaan tidak meninggalkan rumah sewa Da’i Syed pada malam kejadian.
Sebaliknya, dia bermala di situ dan hanya pulang pada keesokan hari.
Mahkamah turut berpendapat, keseluruhan kelakuan wanita berkenaan sebelum, semasa dan selepas apa yang berlaku perlu dinilai semula untuk menentukan sama ada hubungan persetubuhan berlaku secara sukarela atau tanpa rela.
“Kerelaan merupakan penilaian keadaan mental sewaktu kemasukan atau persetubuhan berlaku.
“Apabila kelakuan mangsa secara keseluruhan menunjukkan dia bergerak dan berhubung secara sukarela tanpa sebarang bantahan, dakwaan persetubuhan secara paksaan didapati tidak selamat untuk diterima,” kata hakim.
Ambil Kira Laporan Polis Yang Dibuat Wanita Setahun Selepas Kejadian
Dalam pada itu, mahkamah turut mengambil kira laporan polis yang hanya dibuat selepas 441 hari atau setahun dua bulan dan 14 hari iaitu pada 25 November 2020.
Jelas mereka, rekod menunjukkan laporan tersebut dibuat selepas Da’i Syed kurang memberi respon terhadap mesej wanita terbabit serta isu tersebut ditularkan oleh rakannya di media sosial.
Faktor Kemurungan Wanita Boleh Diguna Untuk Batal Emosi
Azman turut berpendapat, mahkamah rendah terkhilaf apabila menerima andaian bahawa faktor kemurungan dan kenaifan wanita berkenaan boleh diguna untuk membatal kerelaannya.
Pada masa sama, mahkamah turut berpandangan tafsiran peruntukan tersebut tidak boleh diperluas mengikut budi bicara sehingga boleh merangkumi kekecewaan emosi.
Tambah Azman, wanita itu turut disahkan mengalami gangguan kemurungan major dengan gejala keresahan serta menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kajang.
“Bagaimanapun, mahkamah mendapati berdasarkan keterangan yang dikemukakan, perayu tidak diletakkan dalam keadaan memahami situasi serta keadaan mental wanita berkenaan sehingga tidak berupaya memberikan kerelaan.
“Sehubungan itu, panel majoriti memutuskan pembelaan perayu berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan maka sabitan terhadapnya didapati tidak selamat untuk dikekalkan,” katanya.
Hakim Nasihat Da’i Syed Tak Salah Guna Populariti Ambil Kesempatan Kepada Mereka Yang Terdesak
Pada masa sama, hakim turut menasihati Da’i Syed agar tidak menyalahgunakan populariti dengan mengambil kesempatan kepada mana-mana individu yang berada dalam keadaan terdesak.
Jelas Azman, perbuatan mengambil kesempatan terhadap individu yang terganggu emosinya boleh mencemarkan nama baik individu yang membawa imej agama.
“Saya ingin memberikan sedikit nasihat kepada perayu.
“Nasihat saya ini bukan sahaja ditujukan kepada kamu, tetapi setiap hari kami menerima banyak kes melibatkan rogol, liwat dan sebagainya yang berlaku di pondok-pondok sekolah oleh tenaga pengajar dan ia memberikan imej yang buruk kepada masyarakat,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Da’i Syed Dipenjara 10 tahun, 3 Sebatan Kerana Merogol Wanita 5 Tahun Lalu
Baca Artikel Berkaitan: Kes Rogol: Mahkamah Tolak Rayuan Da’i Syed, Hukuman Penjara 10 Tahun & 3 Sebatan Kekal






