Kelangsungan hobi kereta dash di Malaysia

LocalCars
6 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kelangsungan hobi kereta dash di Malaysia

SEWAKTU berusia belasan tahun, pemuda itu merupakan salah seorang remaja yang tertarik dengan permainan kereta mini 4WD atau lebih terkenal sebagai kereta dari animasi Dash! Yonkuro pada era-90an.

Pada ketika itu, memiliki kereta mainan pasang sendiri dash tersebut merupakan satu trend dalam kalangan remaja dan golongan ini bermain perlumbaan dengannya.

Kata pemuda itu yang berasal dari Shah Alam, Selangor, Muhammad Shazree, dia ketika itu turut memiliki kereta dash sendiri dan sering bermain perlumbaan dengan rakan-rakan di dalam longkang.

“Dulu kereta dash atau mini 4WD memang trend remaja zaman sekolah, kami akan sama-sama pasang sendiri kereta dan bermain perlumbaan. Memori itu sangat mengujakan setiap kali diingat semula.

“Namun, meningkat dewasa, saya jarang bermain kereta dash, malah pernah menyangka sudah tidak wujud sehinggalah di usia 30-an sewaktu berjalan di sebuah pusat beli-belah, saya terlihat trek permainan kereta itu,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di sebuah kedai hobi di Petaling Jaya baru-baru ini.

Tambahnya, insiden dua tahun lalu itu mencetus kembali minatnya terhadap kereta dash yang kemudian menemukan dirinya dengan kedai hobi permainan tersebut.

Dia memulakan hobi tersebut dengan membeli set kenderaan sendiri dan kemudian belajar selok-belok permainan tersebut.

Meski sudah di usia dewasa, dia tidak merasa janggal untuk melakukan hobi yang mungkin pada pandangan orang lain hanya sesuai buat kanak-kanak.

“Pada saya semua peringkat umur boleh bermain kereta dash, malah ada yang sudah dalam kategori warga emas turut sama melakukan hobi ini dengan saya.

“Saya tidak janggal untuk belajar semula bermain kereta dash walaupun bermula kembali di usia 30-an kerana kita ada komuniti yang sentiasa membantu dan berkongsi ilmu,” ujarnya.

Image from: Kelangsungan hobi kereta dash di Malaysia
ZAIREE AMINI bergambar di samping trek kereta dash di Petaling Jaya.

Mini 4WD ialah kereta model berskala kecil yang digerakkan menggunakan motor elektrik dengan empat roda berkuasa bateri.

Berbeza dengan kereta kawalan jauh atau RC, Mini 4WD tidak dilengkapi alat kawalan jauh. Sebaliknya, kereta ini bergerak secara automatik sebaik sahaja suis dihidupkan dan dilepaskan di atas trek perlumbaan.

Keistimewaan Mini 4WD terletak pada reka bentuknya yang ringkas tetapi mempunyai ruang luas untuk pengubahsuaian.

Kereta ini biasanya menggunakan dua bateri AA sebagai sumber kuasa, manakala motor elektrik kecil menjadi nadi utama yang menggerakkan keempat-empat roda.

Pada bahagian hadapan dan belakang pula terdapat roller yang membantu memastikan kereta kekal berada di dalam trek ketika mengambil selekoh atau bergerak pada kelajuan tinggi.

Tidak seperti kereta mainan biasa, Mini 4WD direka khusus untuk digunakan di atas trek. Trek tersebut lazimnya mempunyai beberapa lorong, selekoh, tanjakan dan halangan yang menguji kelajuan serta kestabilan kereta.

Oleh sebab kereta tidak dikawal secara langsung oleh manusia, reka bentuk dan tetapan mekanikal memainkan peranan penting dalam menentukan prestasinya.

Komponen seperti motor, gear, roda, tayar, roller, bearing, brek dan casis boleh ditukar atau dilaraskan mengikut keperluan.

Matlamatnya bukan semata-mata menghasilkan kereta paling laju, tetapi mendapatkan keseimbangan antara kelajuan, kestabilan dan kemampuan kereta kekal di landasan.

Atas sebab itu, dunia Mini 4WD sering menjadi gabungan antara hobi, kreativiti dan asas kejuruteraan.

Image from: Kelangsungan hobi kereta dash di Malaysia
Hobi ini yang mempunyai komunitinya tersendiri turut memerlukan kemahiran dalam aspek kejuruteraan, fizik dan mekanik.

Pemilik perlu memahami bagaimana berat kereta, nisbah gear, jenis tayar, kedudukan roller dan kuasa motor mempengaruhi pergerakan kereta. Trek yang berbeza juga memerlukan tetapan yang berlainan.

Menurut Pengerusi Kelab Tamiya Malaysia, Zairee Amini Zazuli antara jenama yang paling sinonim dengan Mini 4WD ialah Tamiya.

Walaupun terdapat pengeluar lain dalam pasaran, Tamiya dianggap antara jenama paling dominan dan mempunyai pengaruh besar dalam perkembangan budaya Mini 4WD di seluruh dunia.

“Di Malaysia pula, nama Tamiya begitu rapat dengan sejarah dan komuniti penggemar Mini 4WD sejak mula diperkenalkan di Malaysia.

“Ia bukan sekadar mengeluarkan produk tetapi menjadi nadi kepada hobi ini dan memberi kemudahan untuk membina fasiliti serta mendapatkan komponen bagi orang ramai mengembangkan minat mereka,” ujarnya.

Tuturnya lagi, hari ini laluan untuk menjadi sebahagian dalam dunia mini 4WD semakin mudah kerana terdapat banyak lokasi (kedai hobi) yang menyediakan fasiliti buat penggemar mengasah kemahiran mereka.

Jika dahulu, untuk bermain mini FWD hanya di lantai atau longkang, kini setiap fasiliti sudah lengkap dengan trek permainan dan aktiviti perlumbaan.

Sementara itu, Zairee Amini yang juga merupakan pengasas kedai hobi DYS Sunway turut memberitahu bahawa perkembangan hobi ini turut melahirkan komuniti yang aktif di Malaysia.

Dalam rekodnya, setakat ini dia mempunyai kumpulan WhatsApp yang menghimpunkan lebih 1,300 ahli dari seluruh negara.

“Dalam skala lebih besar, komuniti Mini 4WD turut terdiri daripada pemain yang bermain secara santai, pengumpul, peminat modifikasi dan racer yang serius menyertai pertandingan.

“Tidak semua yang bermula sebagai pemain akan kekal lama. Ada yang datang dan pergi, kembali bermain selepas beberapa tahun atau sekadar menjadikannya hobi hujung minggu, namun sebahagian yang lain terus mendalami dunia Mini 4WD sehingga menyertai perlumbaan kompetitif,” kongsinya yang juga dikenali sebagai Along dalam kalangan ahli komuniti.

Katanya lagi, Malaysia juga mempunyai pelbagai perlumbaan yang dianjurkan oleh komuniti termasuk acara friendly race dan pertandingan yang mendapat sokongan pihak-pihak seperti pusat beli-belah, sektor swasta serta agensi kerajaan.

Pada masa sama, Kelab Tamiya Malaysia dan rangkaian pembekal turut memainkan peranan dalam menyokong perkembangan komuniti tempatan.

Antara acara paling berprestij ialah Cabaran Dunia yang dianjurkan oleh ibu pejabat Tamiya di Jepun.

Setakat dua tahun ini, Malaysia menghantar enam wakil yang dipilih melalui perlumbaan kelayakan membabitkan enam komuniti atau kedai hobi di sekitar Lembah Klang, Johor dan Kedah.

Pada 2024 dan 2025, wakil Malaysia berjaya melangkah sehingga ke peringkat separuh akhir, satu pencapaian yang memperlihatkan kemampuan pemain tempatan bersaing di pentas antarabangsa.

“Untuk bergelar pelumba, memiliki sebuah kereta sahaja belum mencukupi. Pemain perlu mempunyai kelengkapan untuk pemasangan dan modifikasi, pengalaman sertai pelbagai acara serta keupayaan membaca keadaan trek.

“Kreativiti dan pemikiran kritis diperlukan untuk membuat keputusan pantas apabila berdepan cabaran di trek. Pada masa sama, keberanian dan ketahanan mental juga penting kerana perlumbaan boleh ditentukan oleh keputusan kecil yang dibuat sebelum atau ketika pertandingan,” jelas Along.

The post Kelangsungan hobi kereta dash di Malaysia appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved