Kelantan bimbang moral, prestasi atlet terjejas jika tangguh Sukma 2026

22 Apr 2026 • 2:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kelantan bimbang moral, prestasi atlet terjejas jika tangguh Sukma 2026
Zamakhshari

KOTA BHARU – Kelantan berharap penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor dapat diteruskan walaupun dalam skala kecil bagi mengelakkan sebarang penangguhan yang boleh menjejaskan moral dan prestasi atlet.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, beliau menjunjung kasih pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung cadangan penangguhan penganjuran temasya sukan berkenaan susulan faktor ekonomi dan krisis Asia Barat, namun senada dengan Terengganu yang berharap ia dapat diteruskan.

“Secara umum, kami mengharapkan Sukma 2026 dapat diteruskan seperti dirancang walaupun mungkin dilaksanakan dalam skala lebih kecil bergantung kepada keadaan semasa.

“Jika berlaku penangguhan, sudah tentu sedikit sebanyak boleh memberi kesan terhadap momentum dan moral atlet,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata, Selangor dilihat sudah membuat persiapan awal termasuk jelajah promosi ke seluruh negara bagi memastikan kelancaran temasya terbabit.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi Sukma yang diadakan pada 9 April lepas juga sudah membincangkan agar temasya sukan itu diteruskan walaupun dalam skala kecil,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kelantan turut meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 16 pingat emas, lapan perak dan 11 gangsa dalam temasya berkenaan berdasarkan prestasi semasa dan kesiapsiagaan atlet.

Katanya, sasaran itu ditetapkan selepas mengambil kira pencapaian edisi terdahulu, pengukuhan atlet pelapis serta penambahbaikan aspek kejurulatihan dan fasiliti latihan.

“Kami yakin sasaran ini realistik kerana kontinjen Kelantan dijangka menyertai 35 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada pembangunan sukan sebagai usaha memperkasa belia dan membina ekosistem sukan yang mampan.

Jelansya, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan termasuk menaik taraf kemudahan sukan secara berfasa melibatkan kira-kira 15 projek di bawah peruntukan pembangunan belia.

“Kerajaan negeri memperuntukkan sekitar RM800,000 setahun bagi penyediaan pasukan, manakala keseluruhan peruntukan pembangunan sukan mencecah kira-kira RM3 juta setahun,” katanya.

Menurutnya, keseluruhan perbelanjaan aktiviti sukan negeri dianggarkan melebihi RM10 juta setahun, tidak termasuk sumbangan kerajaan Persekutuan.

Pada edisi SUKMA XXI Sarawak 2024, Kelantan meraih 37 pingat melibatkan emas sebanyak tujuh, perak (13) dan gangsa (17), sekali gus menduduki tangga ke-14 daripada 15 kontinjen.