Kelantan FC: Sasaran 10 terbaik pusingan pertama masih relevan

Football
3 Apr 2023 • 6:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kelantan FC akan berdepan TFC dalam aksi Derbi Pantai Timur di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu. FOTO: FACEBOOK TRW Kelantan FC

SASARAN Kelantan FC untuk mengakhiri saingan pusingan pertama Liga Super dalam kalangan 10 pasukan terbaik disifatkan masih relevan.

Malah pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman ketika meluahkan keyakinan itu di laman Facebooknya berkata, “Insya-ALLAH, target saya untuk Top 10 pada pusingan pertama masih relevan.

“Biarlah apa orang nak kata, yang penting saya bina semula sesuatu yang sudah karam.

“Perlahan tapi insya-ALLAH pasti berjaya akhirnya,” tulisnya.

Sebagai rekod, Kelantan yang dikemudi pengendali dari Korea Selatan, Choi Moon-sik kini berada di kedudukan ke-11 liga dengan enam mata selepas mengharungi enam perlawanan.

Anak buah Moon-sik akan berdepan Terengganu FC asuhan Tomislav Steinbruckner pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu.

Pada masa sama Norizam berterima kasih kepada penyokong-penyokong The Red Warriors (TRW) yang sentiasa memberikan pandangan dan kritikan konstruktif demi kemajuan kelab tersebut.

“Saya sangat suka. Mana yang baik saya ambik nota dan minta pasukan untuk berikan perhatian.

“Banyak penyokong-penyokong yang ikhlas mahu melihat TRW maju dalam saingan Liga Super. Lagi sekali terima kasih semua fans mendoakan TRW Kelantan FC. Komen dan pandangan membina anda diambil berat,” katanya.