Kelantan fokus lahirkan agropreneur muda melalui geran, pasaran & teknologi baharu

09/09/2025 - 10:54
Gambar Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 9 Sept – Kelantan akan bertindak lebih agresif untuk menggalakkan penglibatan belia dalam sektor pertanian bagi memastikan kesinambungan agro negeri serta menjamin keterjaminan makanan negara pada masa depan.
Ini berikutan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan hanya 15.5 peratus tenaga buruh muda berusia bawah 40 tahun terlibat dalam sektor pertanian pada tahun 2023.
Sehubungan itu, satu bengkel Agroniaga Muda dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan dengan kerjasama Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBC), Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, FAMA, Agrobank dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Ia menghimpunkan 40 peserta daripada pelbagai bidang termasuk pertanian, penternakan, perikanan, industri asas tani serta usahawan muda.
Sepanjang bengkel, peserta mengikuti slot Taklimat Geran Agropreneur Muda (GAM) oleh Jabatan Pertanian yang menawarkan dana sehingga RM20,000 bagi Start Up dan RM50,000 bagi Scale Up.
Turut diadakan ialah perkongsian daripada FAMA mengenai jaringan pasaran, kursus bimbingan dan skim penjenamaan produk bagi membantu usahawan tani menembusi pasaran lebih luas.
Peserta juga diperkenalkan kepada skim pembiayaan Agrobank yang menyediakan kemudahan pinjaman dan khidmat nasihat kewangan mesra usahawan agro.
Pada hari kedua, tenaga pakar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membimbing peserta menyediakan rancangan perniagaan yang teratur sebagai dokumen penting memohon pelbagai bentuk geran.
Gabungan pengisian tersebut iaitu Geran Agropreneur Muda, inisiatif FAMA, skim Agrobank dan modul UMK dilihat sebagai pakej lengkap daripada modal permulaan hinggalah strategi pemasaran dan dokumentasi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan & Komoditi Negeri Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pendedahan seumpama itu diyakini mampu melahirkan lebih ramai agropreneur muda yang bersedia merealisasikan cita-cita dalam bidang pertanian moden, seterusnya menyumbang kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, penggunaan teknologi baharu seperti pertanian pintar, automasi dan pemasaran digital penting bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing hasil tani negeri.
“Selain itu, golongan muda juga berupaya meneroka bidang pertanian organik, bioteknologi dan agroteknologi mesra alam yang mampu menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
“Penglibatan aktif belia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan baharu, malah memperkukuh komuniti tani melalui koperasi, kebun komuniti dan jaringan agro yang lebih dinamik.
“Dengan strategi bersepadu melibatkan belia, teknologi dan pembiayaan, Kelantan diyakini mampu muncul sebagai negeri peneraju dalam agenda keterjaminan makanan negara, di samping melahirkan generasi agropreneur muda yang kompetitif di peringkat serantau,” katanya. - DagangNews.com
standard


