
PASIR PUTEH: Selepas hampir tiga dekad, Kelantan kembali ‘disinggahi’ penyu Agar apabila 183 anak hidupan laut itu ditemui di Pantai Pachakan di sini, malam tadi.
Daripada jumlah itu, 156 anak penyu yang menetas dan berada dalam keadaan sihat berjaya dilepaskan ke laut, manakala sebahagian telur lain didapati tidak menetas dan tidak matang.
Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Ismail Ibrahim berkata, penemuan disifatkan cukup unik selepas hampir tiga dekat pihaknya sudah lama tidak merekodkan penyu naik ke pantai negeri ini untuk bertelur secara semula jadi.
Katanya, Jabatan Perikanan menerima maklumat daripada komuniti nelayan myKomuniti Perikanan (myKP) Pasir Puteh mengenai kehadiran anak penyu jenis Agar antara pukul 9 hingga 9.30 malam.
“Setiba di lokasi, kami dapati mendapati terdapat kira-kira 183 biji telur penyu. Sebanyak 156 anak penyu telah menetas dan hidup serta berjaya dilepaskan ke laut.
“Selebihnya telur-telur yang tidak menetas dan tidak matang. Kedudukan sarang berkenaan hanya kira-kira 20 meter dari gigi air,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ismail memberitahu, pihaknya menggali semula sarang berkenaan bagi memastikan tiada anak penyu yang tertinggal.
Katanya, penemuan berkenaan dipercayai menunjukkan ibu penyu naik ke pantai secara senyap tanpa disedari penduduk sebelum kembali ke laut selepas bertelur.
“Apabila sampai waktunya, telur menetas dengan jayanya secara semula jadi anak-anak penyu keluar dari sarang dan bergerak menuju ke laut.
“Namun, sebahagiannya dipercayai tertarik dengan cahaya dari kawasan berhampiran pantai,” ujarnya.
Ismail berkata, penemuan ini sangat penting dan menjadi satu peringatan untuk seluruh rakyat Kelantan memberi perhatian terhadap kemungkinan kehadiran penyu bertelur di pantai Kelantan.
Katanya, Jabatan Perikanan akan mempergiatkan kempen kesedaran supaya masyarakat mengetahui kepentingan melindungi penyu dan habitatnya.-UTUSAN
The post Kelantan kembali ‘disinggahi’ penyu Agar selepas tiga dekad appeared first on Utusan Malaysia.




