Selepas tiga dekad, penyu agar menetas di Kelantan

LocalEnvironment
24 Aug 2026 • 10:19 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Selepas tiga dekad, penyu agar menetas di Kelantan
Jabatan Perikanan Negeri Kelantan dan penduduk menunjukkan 156 anak penyu yang telah menetas dan hidup serta berjaya dilepaskan ke laut. Foto Jabatan Perikanan Negeri Kelantan
Image from: Selepas tiga dekad, penyu agar menetas di Kelantan
Sarang digali bagi memastikan tiada anak penyu yang tertinggal dan mendapati sebahagian telur tidak menetas. Foto Jabatan Perikanan Negeri Kelantan
Image from: Selepas tiga dekad, penyu agar menetas di Kelantan
Selepas kira-kira tiga dekad, Kelantan kembali merekodkan fenomena semula jadi penyu bertelur dan menetas di pantai negeri ini apabila 183 anak hidupan laut itu ditemui di Pantai Pachakan, Pasir Puteh pada Ahad malam. Foto Jabatan Perikanan Negeri Kelantan

PASIR PUTEH - Selepas kira-kira tiga dekad, Kelantan kembali merekodkan fenomena semula jadi penyu bertelur dan menetas di pantai negeri ini apabila 183 anak hidupan laut itu ditemui di Pantai Pachakan di sini pada Ahad malam.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, Ismail Ibrahim berkata, penemuan itu amat unik kerana pihaknya sudah lama tidak merekodkan penyu naik ke pantai Kelantan untuk bertelur secara semula jadi.

Menurut beliau, pihaknya menerima maklumat daripada komuniti nelayan myKomuniti Perikanan (myKP) Pasir Puteh mengenai kehadiran anak penyu jenis Agar di pantai berkenaan kira-kira jam 9 hingga 9.30 malam.

"Apabila tiba di lokasi, kita mendapati terdapat kira-kira 183 biji telur penyu. Sebanyak 156 anak penyu telah menetas dan hidup serta berjaya dilepaskan ke laut. Selebihnya telur-telur yang tidak menetas dan tidak matang.

"Kita kemudian menggali semula sarang berkenaan bagi memastikan tiada anak penyu yang tertinggal dan mendapati sebahagian telur tidak menetas," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

**media[3624230]**

Ismail memberitahu, penemuan berkenaan dipercayai menunjukkan ibu penyu naik ke pantai secara senyap tanpa disedari penduduk sebelum kembali ke laut selepas bertelur.

Ujarnya, apabila sampai waktunya, telur menetas dengan jayanya secara semula jadi.

"Anak-anak penyu itu kemudian keluar dari sarang dan bergerak ke arah laut, namun sebahagiannya dipercayai tertarik dengan cahaya dari kawasan berhampiran pantai," katanya.

Jelas beliau, kedudukan sarang berkenaan hanya kira-kira 20 meter dari gigi air, manakala proses pemeriksaan dan penggalian semula sarang mengambil masa kira-kira sejam.

Katanya lagi, kesemua anak penyu yang dilepaskan semula ke laut berada dalam keadaan sihat.

"Bagi kita, penemuan ini sangat penting dan menjadi satu peringatan untuk kita lebih memberi perhatian terhadap kemungkinan kehadiran penyu bertelur di pantai Kelantan.

"Selepas ini, Jabatan Perikanan akan mempergiatkan kempen kesedaran supaya masyarakat mengetahui kepentingan melindungi penyu dan habitatnya

"Kami memohon orang ramai agar peka dengan kehadiran spesis terancam itu dan jika menemuinya laporkan terus kepada Jabatan Perikanan," katanya.

**media[3624267]**

Tambah Ismail, sebelum ini pihaknya lebih banyak merekodkan kes penyu terdampar termasuk yang mati, namun kejadian penyu bertelur secara semula jadi seperti itu sudah lama tidak direkodkan.

"Lebih kurang tiga dekad kita tidak merekodkan penyu bertelur di pantai Kelantan. Jadi, penemuan ini adalah sesuatu yang unik dan kita perlu lebih peka selepas ini," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved