Kelantan lancar Portal Info Rakyat sebagai rujukan digital utama perkhidmatan, skim bantuan

LocalTechnology
23 Dec 2025 • 12:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kelantan lancar Portal Info Rakyat sebagai rujukan digital utama perkhidmatan, skim bantuan
image is not available
liza23/12/2025 - 12:27 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Dis – Rakyat Kelantan kini menikmati satu lagi akses mudah untuk mendapatkan maklumat perkhidmatan, skim bantuan, produk serta hebahan semasa kerajaan.

 

Ia susulan inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Kelantan dalam membangunkan Portal Info Rakyat sebagai satu platform digital bersepadu yang bakal menjadi rujukan utama rakyat bagi mendapatkan semua maklumat hanya di hujung jari.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan Mohd Asri Daud berkata inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan secara lebih tersusun, mudah diakses dan mesra rakyat.

 

“Melalui portal tersebut rakyat boleh mendapatkan pelbagai panduan, syarat atau dokumen yang diperlukan untuk membuat sebarang permohonan tanpa perlu datang ke pejabat.

 

“Perkara ini antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Semakan Dan Tambah Baik Portal Info Rakyat Kelantan baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Portal tersebut dibangunkan oleh Kerajaan Negeri melalui Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat Negeri (BPTM).

 

Lebih 50 jabatan, agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terlibat memberi pelbagai maklum balas penting ke arah merealisasikan pelaksanaan portal tersebut.

 

Tambahnya, portal ini akan menjadi terminal digital bersepadu yang akan menjadi rujukan dan akses kepada rakyat bagi sebarang tawaran perkhidmatan, skim bantuan, produk, selain makluman dan hebahan semasa.

 

“Ia akan sentiasa ditambah baik dari masa ke semasa dalam memastikan rakyat menikmati hidup sejahtera melalui penyaluran maklumat yang tepat dan terkini,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard