Kelantan negeri paling aktif sertai pembiayaan usahawan mikro Agrobank

Business & Finance
1 Aug 2026 • 12:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kelantan negeri paling aktif sertai pembiayaan usahawan mikro Agrobank
Tengku Ahmad Badli Shah (dua,kanan) beramah mesra dengan peniaga semasa Lawatan Mikro Kredit Turun Padang di Pasar Bandar Baru Jelawat, Bachok pada Sabtu. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

BUDAYA berniaga serta keupayaan generasi muda memanfaatkan media sosial menjadikan Kelantan antara negeri paling aktif menyertai program usahawan mikro Agrobank dengan kelulusan sebanyak 765 pembiayaan bernilai RM46 juta sepanjang tahun 2025 hingga Julai tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata, di Kelantan, Agrobank kini merekodkan 4,099 pelanggan pembiayaan mikro aktif dengan nilai keseluruhan RM147 juta.

Menurut beliau, budaya berniaga yang sudah sebati dalam masyarakat negeri itu menjadi antara faktor utama peningkatan penyertaan usahawan mikro.

"Ramai melihat perniagaan sebagai sumber rezeki dan hari ini peluang untuk memulakan perniagaan jauh lebih mudah berbanding dahulu.

"Usahawan tidak lagi bergantung kepada pekerjaan makan gaji semata-mata kerana terdapat pelbagai bantuan kerajaan, selain platform media sosial yang membolehkan mereka memasarkan produk ke seluruh negara, malah ke luar negara," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.

Sebelum itu, beliau mengadakan Lawatan Mikro Kredit Turun Padang di Pasar Bandar Baharu Jelawat, di sini.

Menurut beliau, kemudahan logistik yang semakin baik, termasuk pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), turut dijangka memperkukuh ekosistem perniagaan, khususnya sektor agromakanan.

Ujarnya, apabila ECRL siap, urusan penghantaran produk akan menjadi lebih pantas dan efisien.

Tambah beliau, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan untuk mengembangkan pasaran mereka.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, program berkenaan berjaya mencatat kadar pembukaan akaun sebanyak 94.3 peratus dalam kalangan peniaga, manakala 100 peratus daripada mereka kini menggunakan kemudahan DuitNow QR.

"Selain itu, lebih 70 peratus peniaga turut menerima bantuan kanopi bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan dengan lebih selesa di Pasar Jelawat Baharu," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved