liza10/11/2026 - 16:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov – Kerajaan Kelantan optimis sasaran penyediaan 200 petak pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negeri menjelang 2030 mampu dicapai hasil kerjasama dengan syarikat swasta yang kini sedang giat dijalankan.
Ketika ini, Kelantan memiliki 39 petak pengecas EV dengan 37 daripadanya terletak dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan dua lagi di lokasi lain termasuk premis McDonald's.
Sasaran itu mencerminkan usaha kerajaan negeri dalam memperluas infrastruktur pengecasan EV termasuk ke daerah-daerah lain bagi memastikan kemudahan berkenaan tidak hanya tertumpu di kawasan Kota Bharu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata sasaran itu turut mengambil kira keperluan menyediakan kemudahan kepada pengguna EV, termasuk pelancong yang berkunjung ke negeri berkenaan.
Sasaran 200 petak di seluruh negeri
“Berdasarkan cadangan yang diterima kerajaan negeri, sebanyak 65 petak pengecasan EV dicadangkan di kawasan pentadbiran MPKB-BRI, diikuti 30 petak di Tumpat dan 20 petak di Kuala Krai.
“Selain itu, sebanyak 25 petak dicadangkan masing-masing di Tanah Merah dan Jeli serta Pasir Puteh dan Bachok, manakala 15 petak lagi di Machang dan 20 petak di Gua Musang.
“Pengagihan itu menunjukkan perancangan peluasan kemudahan pengecasan EV turut memberi perhatian kepada daerah di luar Kota Bharu bagi menyokong perjalanan pengguna kenderaan elektrik di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan rekod semasa sebanyak 39 petak, Kelantan perlu menambah sekurang-kurangnya 161 petak lagi untuk mencapai sasaran 200 menjelang 2030.
Bagaimanapun, Hilmi memaklumkan jumlah sebenar kemudahan pengecasan EV di Kelantan mungkin lebih tinggi berikutan terdapat pengendali yang belum mendaftarkan kemudahan mereka dengan PBT.
Sehubungan itu, semua PBT diminta mengumpulkan data berkaitan bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai jumlah petak pengecasan EV yang tersedia di seluruh negeri.
Kerjasama swasta perluas infrastruktur EV
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri sedang menilai keperluan dari segi jumlah dan lokasi strategik bagi memastikan kemudahan pengecasan EV disediakan di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.
Hilmi berkata, MPKB-BRI bersedia bertindak sebagai pemudah cara bagi menggalakkan kerjasama antara pengendali pengecas EV (CPO), agensi kerajaan negeri dan pihak teknikal berkaitan.
Kerajaan negeri turut menggalakkan penyertaan sektor swasta bagi memperluas kemudahan berkenaan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan kerajaan.
Pendekatan itu selari dengan Rangka Tindakan Bandar Pintar Kelantan 2040 (Kelantan Smart City Blueprint 2040) yang menggariskan perancangan penambahan stesen pengecasan EV, khususnya di kawasan komersial, institusi dan lokasi tumpuan awam.
Dua petak pengecasan dicadang di Kota Darulnaim
Selain peluasan kemudahan di seluruh daerah, kerajaan negeri turut berusaha menyediakan dua petak pengecasan EV di kawasan Kota Darulnaim sebagai sebahagian daripada inisiatif berkenaan.
Hilmi juga mencadangkan supaya kerajaan negeri menilai semula jenis kenderaan yang dibenarkan untuk pembelian menerusi kemudahan pinjaman kepada kakitangan kerajaan agar kenderaan elektrik turut dipertimbangkan.
Usaha memperluas kemudahan pengecasan itu dijangka menjadi antara persediaan Kelantan menghadapi perkembangan penggunaan EV, selain memastikan pengguna yang berkunjung ke negeri berkenaan mempunyai akses kepada kemudahan pengecasan yang mencukupi. - DagangNews.com






