liza10/11/2026 - 15:44 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov – Malaysia merancang memperkenalkan pasaran borong elektrik berasingan khusus untuk pengguna tenaga berskala besar termasuk pusat data menjelang 2029 atau 2030 bagi memastikan peningkatan permintaan elektrik sektor berkenaan tidak membebankan industri lain.
Pengarah Bahagian Pasaran, Kawal Selia dan Perancangan Suruhanjaya Tenaga, Rumaizi Abdul Halim berkata, pasaran baharu itu akan melengkapi pasaran pembeli tunggal sedia ada yang terus membekalkan elektrik kepada isi rumah, kilang dan premis komersial.
Beliau berkata, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan membenarkan perkembangan industri pusat data tanpa menyebabkan peningkatan kos tenaga kepada sektor ekonomi lain.
"Kerajaan mahu membenarkan pembangunan pusat data, tetapi pada masa sama tidak mahu sektor itu memberi kesan langsung terhadap kos tenaga yang ditanggung industri lain," katanya dalam sesi perbincangan panel bertajuk ‘Memacu Ekonomi Digital Malaysia: Tenaga Boleh Baharu dan Hala Tuju Pusat Data’ sempena Siri Sektoral Bursa Malaysia: Memacu Era Kecerdasan Buatan (AI).
Perbincangan itu dikendalikan Ketua Pasaran Karbon Bursa Malaysia, Dr Wei-nee Chen.
Dua pasaran beroperasi di bawah satu rangka kerja
Rumaizi berkata, peningkatan permintaan elektrik daripada syarikat berskala besar sudah mencukupi untuk menyokong pengenalan pasaran borong berasingan itu.
Bagaimanapun, kedua-dua pasaran berkenaan akan beroperasi di bawah satu rangka kerja pasaran dengan perincian mengenai kaedah interaksi dan operasi antara keduanya masih belum dimuktamadkan.
Beliau berkata, kedua-dua pasaran akhirnya akan dikendalikan oleh satu pengendali pasaran yang sama.
Pembangunan pusat data lebih pantas berbanding loji jana kuasa
Dalam pada itu, Rumaizi berkata, pembangunan pusat data boleh disiapkan dalam tempoh 12 hingga 24 bulan, jauh lebih singkat berbanding projek penjanaan elektrik yang lazimnya mengambil masa empat hingga lima tahun.
Tempoh pembangunan loji jana kuasa itu juga boleh meningkat kepada enam atau tujuh tahun berikutan kekangan bekalan peralatan.
Perbezaan tempoh pembangunan tersebut menimbulkan cabaran kepada perancangan bekalan elektrik negara, khususnya ketika permintaan tenaga daripada pusat data terus meningkat.
Kelulusan projek tenaga boleh baharu antara cabaran utama
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), Nor Azah Masrom berkata, pelaksanaan dan pentauliahan projek tenaga boleh baharu mengikut jadual penting bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik.
Bagaimanapun, beliau berkata, proses kelulusan yang panjang, keperluan pembiayaan serta sambungan kepada rangkaian grid kekal antara cabaran utama yang dihadapi pemaju projek tenaga boleh baharu.
Sebagai contoh, proses mendapatkan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) boleh mengambil masa sehingga tiga tahun, diikuti tempoh dua tahun lagi untuk kerja pembinaan.
Pelaburan pusat data perlu beri manfaat kepada syarikat tempatan
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perniagaan dan Operasi Serantau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Noorzita Mohamad Nor berkata, agensi itu memberi tumpuan kepada usaha memastikan pelaburan pusat data menghasilkan manfaat lebih besar kepada ekonomi domestik.
Beliau berkata, kelulusan pelaburan pusat data terbaharu telah memasukkan syarat kandungan tempatan sebanyak 30% bagi membuka lebih banyak peluang kepada pengeluar dan penyedia perkhidmatan Malaysia.
Menurutnya, syarikat tempatan yang berjaya menjadi pembekal kepada pengendali pusat data di Malaysia juga berpeluang membekalkan produk dan perkhidmatan kepada kemudahan milik pengendali sama di luar negara. - DagangNews.com





