Kelantan perkasa penguatkuasaan aktiviti perlombongan haram

LocalPolitics
21 May 2026 • 5:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kelantan perkasa penguatkuasaan aktiviti perlombongan haram
Dr Mohamed Fadzli

KOTA BHARU - Kelantan akan terus memperkasakan tindakan penguatkuasaan aktiviti perlombongan haram di kawasan yang dikenal pasti termasuk di sekitar Jeli dalam usaha membendung kecurian mineral itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia digerakkan melalui pemantauan, risikan dan tindakan lapangan bagi memastikan kegiatan pencerobohan hasil bumi dapat dibendung secara lebih tegas dan berkesan.

"Aktiviti pengambilan hasil bumi tanpa lesen dan kelulusan sah boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan Enakmen Mineral Negeri Kelantan serta undang-undang berkaitan tanpa sebarang kompromi," katanya pada Khamis.

Mohamed Fadzli berkata, semua pihak diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi dan syarat keselamatan yang ditetapkan serta mendapatkan permit dan kelulusan secara sah sebelum menjalankan sebarang aktiviti perlombongan.

Katanya, keghairahan mencari keuntungan tidak boleh mengatasi soal keselamatan nyawa dan pematuhan undang-undang.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri amat dukacita dan berasa kesal atas kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua lelaki tempatan ketika menjalankan aktiviti perlombongan emas di kawasan Ladang Sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah, Jeli.

Ujar beliau, kejadian tragis itu membuktikan bahawa aktiviti perlombongan haram bukan sahaja melanggar undang-undang, bahkan turut mengundang risiko besar terhadap nyawa, keselamatan serta kelestarian alam sekitar.

"Kami merakamkan penghargaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta semua anggota penyelamat yang terlibat dalam operasi di lokasi kejadian," katanya.