
KOTA BHARU: Kelantan akan menyenaraikan bocce sebagai antara lapan sukan pilihan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-22 yang akan diadakan di negeri itu pada 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata selain 16 sukan wajib, Jawatankuasa Tertinggi Sukma turut membenarkan tuan rumah temasya tersebut untuk menyenaraikan lapan sukan pilihan.
“Harapan kita agar sebelum Sukma 2026 negeri-negeri sudah mempunyai persatuan bocce yang aktif kerana setakat hari ini dimaklumkan hanya ada tujuh negeri mempunyai persatuan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Kejohanan Bocce/Raffa Prelude Sukma Kebangsaan Siri 1/2022, di sini hari ini.
Kejohanan yang disertai tujuh negeri itu menganjurkan lima kategori terdiri daripada beregu campuran, beregu lelaki, beregu perempuan, perseorangan lelaki dan perseorangan perempuan.
Turut hadir Presiden Persekutuan Boulse Bocce Malaysia (MSBBF) Razali Wan Zain.
Sementara itu, Wan Roslan berkata Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh bernilai RM270 juta iaitu venue utama Sukma 2026 akan mula dibina Januari tahun depan.
“Tender projek dijangka dilakukan pada hujung tahun (ini) supaya kerja pembinaan dapat dimulakan pada awal 2023,“ katanya.-Bernama


