Kelantan umum pakej rangsangan ekonomi RM2 juta kepada rakyat

LocalBusiness & Finance
22 Apr 2026 • 8:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kelantan umum pakej rangsangan ekonomi RM2 juta kepada rakyat
Mohd Nassuruddin. - FOTO: Mohd Nassuruddin Haji Daud

KOTA BHARU - Kelantan pada Rabu mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat berjumlah RM2 juta bagi membantu golongan terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi global.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pakej itu memberi manfaat kepada golongan petani serta pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang menjadi antara penyumbang utama ekonomi Kelantan.

Beliau berkata, bantuan akan disalur secara bersasar membabitkan RM1 juta kepada petani bagi memperkukuh sektor agromakanan dan RM1 juta kepada pengusaha IKS untuk menyokong kelangsungan serta pertumbuhan perniagaan.

"Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela di samping memperkukuh daya tahan ekonomi Kelantan,” katanya pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Rabu. 

Mohd Nassuruddin berkata, mekanisme penyaluran bantuan itu akan dimuktamad dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi menyelesaikan isu berkaitan termasuk pemilikan tanah peneroka.

Mohd Nassuruddin berkata, hal ini selepas isu berkenaan dibangkitkan oleh Wan Rohimi Wan Daud (PAS-Melor) ketika membahaskan titah ucapan diraja yang turut mencetuskan perdebatan antara beliau dengan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN-Nenggiri) dan Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas).

"Isu berkaitan Kesedar dan tanah peneroka yang dibangkitkan menunjukkan masih terdapat perkara tertunggak yang belum diselesaikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri komited mengamalkan pendekatan federalisme matang dan konstruktif termasuk memperkukuh hubungan dengan Kerajaan Persekutuan serta menyelaras pembangunan melalui Majlis Tindakan Pembangunan Negeri. - Bernama