SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Selangor mengumumkan pakej pengukuhan daya tahan bernilai RM131 juta bagi membantu rakyat serta industri negeri itu menghadapi kesan krisis bekalan tenaga global yang semakin mencabar susulan ketegangan di Asia Barat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengambil langkah itu selepas gangguan rantaian bekalan tenaga dan komoditi kritikal seperti minyak mentah, gas, baja, sulfur dan helium yang turut memberi kesan kepada ekosistem industri negeri.
"Perang di Asia Barat telah menyebabkan gangguan bekalan tenaga selepas Selat Hormuz terus terjejas.
"Sekiranya konflik reda sekalipun, pemulihan rantaian bekalan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk kembali stabil," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, pakej itu dirangka melalui semakan Belanjawan Negeri dengan fokus kepada lima teras utama iaitu keterjaminan bekalan makanan, pengurangan kos sara hidup, kawalan inflasi, pengukuhan pengangkutan awam serta bantuan bersasar kepada golongan terkesan.
"Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah Jelajah Ehsan Rahmah yang akan dilaksanakan sebulan sekali di setiap DUN (RM5 juta), Gudang Makanan Selangor bagi menambah stok penimbal barangan asas (RM50 juta), serta Baucar Kita Selangor bernilai RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 penerima (RM30 juta).
"Turut diperkenalkan ialah subsidi tambang pengangkutan awam sebanyak RM30 sebulan selama enam bulan kepada 30,000 penerima (RM5.4 juta), bantuan sarapan percuma pelajar sekolah melibatkan 873 sekolah di seluruh negeri (RM9.6 juta), serta bantuan sektor pertanian antara RM300 hingga RM600 sebulan untuk tempoh enam bulan (RM25 juta)," jelas beliau.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut memperuntukkan dana bagi pemerkasaan usahawan koperasi Selangor melalui geran pembangunan kepada koperasi di bawah KOHIJRAH.
Amirudin berkata, kerajaan negeri turut akan mengadakan sesi libat urus bersama industri utama seperti pembinaan, pembuatan, logistik dan perkhidmatan bagi menilai kesan krisis serta merangka langkah mitigasi lebih bersasar.
"Pada masa sama, kita juga meneroka peluang peralihan tenaga seperti solar, teknologi bateri, hidrogen serta peningkatan kecekapan tenaga di bangunan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas langkah meningkatkan subsidi BUDI95, Budi Diesel serta sokongan kepada sektor pertanian dan pengangkutan awam.
Menurutnya, Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 itu merupakan langkah persiapan dan pelengkap kepada dasar di peringkat Persekutuan dengan semakan berkala setiap dua minggu akan dilakukan melalui Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga negeri.
"Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan di Asia Barat dan rantau Asia Tenggara serta data bekalan tenaga dan barangan asas supaya tindakan boleh diambil secara proaktif," jelas beliau.
Info Inisiatif Bantuan Selangor
1) Jelajah Ehsan Rahmah
Butiran dan manfaat: Jualan murah yang diadakan sebulan sekali di setiap kawasan DUN seluruh Selangor.
Peruntukan: RM5 juta
2) Gudang Makanan Selangor
Butiran dan manfaat: Meningkatkan stok penimbal barangan asas seperti beras dan sumber protein.
Peruntukan: RM50 juta
3) Baucar Kita Selangor
Butiran dan manfaat: Baucar bernilai RM100 sebulan selama 6 bulan untuk 50,000 penerima bagi pembelian barangan asas.
Peruntukan: RM30 juta
4) Subsidi Tambang Pengangkutan Awam
Butiran dan manfaat: Subsidi RM30 sebulan selama 6 bulan untuk 30,000 penerima (melibatkan van DRT, bas, dan keretapi).
Peruntukan: RM5.4 juta
5) Bantuan Sarapan Percuma Pelajar
Butiran dan manfaat: Program sarapan percuma di 873 buah sekolah seluruh Selangor untuk meringankan beban ibu bapa.
Peruntukan: RM9.6 juta
6) Bantuan Sektor Pertanian
Butiran dan maklumat: Bantuan antara RM300 – RM600 sebulan selama 6 bulan untuk 17,237 pesawah, nelayan, dan penternak bagi menampung kos input atau diesel.
Peruntukan: RM25 juta
7) Pemerkasaan Usahawan Koperasi
Butiran dan maklumat: Geran pembangunan melalui KOHIJRAH untuk memperkasa usahawan dalam sektor peruncitan dan logistik
Peruntukan: RM6 juta






