
PULAU PINANG – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh memberitahu penangguhan sementara sesi ‘mengajar’ individu yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di Kepala Batas, selepas suspek utama kes itu ditahan pihak polis dan dijadualkan didakwa di mahkamah hari ini.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang sepenuhnya kepada pihak pendakwa untuk melaksanakan proses undang-undang tanpa gangguan.
“Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang bahawa lelaki yang mengibarkan bendera negara secara terbalik telah ditangkap dan akan dibawa ke mahkamah esok. Jadi, kelas yang dirancang untuk mengajar cara memasang bendera dengan betul kita tangguhkan dulu.
“Tetapi, jika selepas ini ada lagi yang berani mencabar undang-undang, kami sedia turun sekali lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Dr. Muhamad Akmal turut mendesak agar hukuman tegas dijatuhkan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat, tanpa mengira bangsa atau latar belakang. Malah, beliau berpendapat undang-undang sedia ada terlalu ringan dan mencadangkan hukuman penjara sehingga 10 tahun diperkenalkan bagi kesalahan seperti itu.
“Kita tidak mahu hanya denda ratusan ringgit kerana ia tidak memberi kesan. Hukuman mesti setimpal supaya tiada siapa berani menghina simbol kedaulatan negara,” tegasnya.
Siasatan terhadap lelaki berusia 59 tahun itu dilakukan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, setakat ini sebanyak 16 laporan telah diterima berhubung kejadian berkenaan, termasuk empat laporan dari luar negeri ini.
“Kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang esok dengan cadangan pertuduhan,” ujarnya.
Insiden bendera terbalik itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah kedai perkakasan rumah di Kepala Batas dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat.
