
Dahulu, telefon bimbit sekadar digunakan untuk membuat panggilan dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).
Hari ini, hampir setiap urusan harian daripada pembayaran bil, tempahan pengangkutan, pembelian makanan hinggalah urusan kerajaan memerlukan sentuhan pada skrin telefon pintar.
Perubahan itu mungkin mudah diikuti generasi muda yang membesar bersama teknologi. Namun, bagi golongan warga emas yang melalui sebahagian besar kehidupan tanpa internet dan aplikasi digital, perubahan tersebut menjadi cabaran baharu yang memerlukan masa, kesabaran serta bimbingan berterusan.
Walaupun begitu, usia bukan penghalang untuk terus belajar. Semakin ramai warga emas kini sanggup meluangkan masa mengikuti kelas telefon pintar demi memastikan mereka tidak terus ketinggalan dalam dunia yang semakin digital.
Suasana itu dapat dilihat menerusi kelas telefon pintar yang dianjurkan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, R Rajiv di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sejak tiga tahun lalu.
Program yang menghimpunkan peserta berusia antara 40 hingga 95 tahun itu menjadi ruang untuk mereka mempelajari kemahiran digital yang kini menjadi keperluan asas kehidupan.
Sebaik melangkah masuk ke Balairaya MBPJ, suasana riuh kedengaran apabila peserta berbilang kaum tidak henti-henti mengajukan pelbagai soalan kepada tenaga pengajar.
Ada yang ingin mengetahui cara menggunakan aplikasi perbankan, ada yang keliru tentang fungsi telefon, manakala sebahagian lagi mahu memahami penggunaan aplikasi yang tidak pernah wujud ketika zaman mereka membesar.
Walaupun soalan yang sama diulang berkali-kali, tenaga pengajar tetap melayan setiap peserta dengan sabar. Mereka bergerak dari satu meja ke satu meja, mengulang penerangan sehingga setiap peserta benar-benar memahami langkah yang diajar.

Bagi tenaga pengajar, Aman Banot, mengajar golongan warga emas memerlukan pendekatan berbeza berbanding generasi muda kerana kebanyakan mereka mudah terlupa apa yang dipelajari.
"Warga emas selalunya boleh belajar, tapi selalu lupa. Jadi saya kena selalu ulang perkara sama setiap minggu sehingga mereka ingat," katanya kepada Media Selangor.
Pada peringkat awal, kelas dijalankan secara santai tanpa silibus khusus dan lebih tertumpu kepada keperluan peserta.
Kini, program itu berkembang dengan modul yang lebih tersusun meliputi penggunaan asas telefon pintar, pembayaran digital, tempahan makanan serta perkhidmatan e-hailing yang diajar secara berperingkat.
Usaha itu penting memandangkan semakin banyak urusan harian kini memerlukan penggunaan aplikasi digital, sekali gus memastikan warga emas tidak terus bergantung kepada ahli keluarga.

Bagi peserta, Kong Yoke Lum, kelas tersebut bukan lagi sekadar aktiviti mengisi masa lapang, sebaliknya menjadi bekalan penting untuk hidup berdikari selepas anak-anak tidak lagi tinggal bersama.
Hasil mengikuti kelas selama tiga tahun, lelaki berusia 96 tahun itu kini mampu menggunakan aplikasi Grab untuk menempah kenderaan atau makanan sendiri, selain memanfaatkan Waze dan aplikasi penterjemah dalam urusan harian.
"Saya belajar yang penting sahaja seperti Waze, Grab dan Traslator kerana kebanyakkan urusan rasmi menggunakan Bahasa Melayu," katanya.
Latihan yang diulang secara konsisten serta bantuan rakan dan tenaga pengajar membolehkan beliau menguasai kemahiran itu walaupun mengambil masa lebih lama berbanding orang lain.

Semangat yang sama turut dikongsi bekas wartawan The Star, Adlina Abdul Wahab, 67, yang mengikuti kelas tersebut sejak dua tahun lalu.
Walaupun pernah bertugas dalam bidang media, beliau mengakui masih banyak perkara mengenai telefon pintar yang ingin dipelajari agar teknologi benar-benar dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
Selain memperoleh ilmu baharu, kelas itu turut membuka ruang untuk mengenali rakan daripada pelbagai kaum dan berkongsi pengalaman dalam suasana yang santai.

Bagi Shanmugaratnam S Chellathurai, 76, perubahan paling ketara ialah apabila beliau tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada anak-anak untuk melakukan urusan harian.
"Sebelum ini saya bergantung kepada anak untuk urusan seperti pindahan wang, sekarang sudah boleh buat sendiri walaupun masih belajar," katanya.

Walaupun mengakui cabaran utama ialah mudah lupa, beliau tetap hadir secara konsisten kerana percaya kemahiran digital hanya dapat dikuasai melalui latihan berulang.
Di sebalik setiap sentuhan pada skrin telefon, tersimpan satu usaha besar untuk mengecilkan jurang teknologi antara generasi.
Kelas seperti ini membuktikan dengan kesabaran, bimbingan yang berterusan dan pendekatan yang sesuai, warga emas juga mampu menguasai teknologi, sekali gus menikmati kehidupan yang lebih yakin serta berdikari seiring dengan perkembangan dunia digital.






