'Keldai dadah' dicekup, bunga ganja lebih RM10 juta dirampas

18 May 2026 • 12:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Keldai dadah' dicekup, bunga ganja lebih RM10 juta dirampas
Shazeli (empat dari kiri) ketika sidang akhbar kejayaan rampasan dadah jenis bunga ganja di IPK Selangor pada Isnin. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Image from: 'Keldai dadah' dicekup, bunga ganja lebih RM10 juta dirampas
Shazeli menunjukkan tangkapan suspek kes penyeludupan dadah jenis bunga ganja di KLIA. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM – Helah lapuk menyeludup bunga ganja bernilai RM13.85 juta dengan merekrut enam warga asing sebagai 'keldai dadah' untuk dibawa ke Eropah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, berjaya digagalkan baru-baru ini.

Kesemua suspek ditahan dalam tiga tangkapan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA bersama Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata,tangkapan pertama pada 6 Mei bertindak menahan tiga suspek termasuk dua perempuan berusia lingkungan 17 hingga 19 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan tiga bagasi menemui 66 bungkusan plastik berisi disyaki bunga ganja seberat 72.6 kilogram (kg) bernilai RM5.8 juta.

"Kes seterusnya pada 9 Mei turut menahan empat bagasi mencurigakan semasa melalui mesin imbasan di terminal.

"Pemeriksaan dalam bagasi itu berjaya menemui 136 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat kira-kira 72.8 kg bernilai RM5.85 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Isnin.

**media[3524383]**

Tambahnya, tangkapan kedua ini berjaya menahan dua individu termasuk wanita berusia 30 dan 31 tahun di sekitar Terminal KLIA.

Bagi kes ketiga pada 10 Mei, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan selepas pemeriksaan dua bagasi dipercayai miliknya menemui 52 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 27.4 kg dengan nilai RM2.2 juta.

Shazeli berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai tiba di Malaysia pada penghujung April lalu.

"Suspek dipercayai menerima upah dengan mata wang Euro 3,000 hingga 5,000 bagi membawa dadah itu ke negara Eropah," katanya.

Tegasnya, kesemua suspek telah direman 14 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Justeru, polis mengingatkan agar mana-mana individu tidak terlibat sebagai 'keldai dadah' dengan menerima tawaran membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui isi kandungannya.

"Jangan terpedaya dengan janji upah lumayan kerana tindakan itu mengundang implikasi undang-undang serius," ujarnya.