Syabu RM3.95 juta dari negara jiran dirampas dalam kereta

18 May 2026 • 1:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Syabu RM3.95 juta dari negara jiran dirampas dalam kereta
Shazeli (tengah) menunjukkan rampasan dadah jenis syabu yang dirampas dalam operasi di Ampang 11 Mei lalu. Foto: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Dadah disyaki syabu bernilai RM3.95 juta yang diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan dirampas polis 11 Mei lalu.

Kegiatan itu dibongkar Unit Kereta Peronda (MPV) Balai Polis Ampang selepas penahanan seorang lelaki tempatan di hadapan sebuah kediaman di Ampang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pemeriksaan dalam kereta jenis Ford Kuga yang digunakan suspek menemui 79 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah syabu.

"Dadah seberat kira-kira 79 kilogram (kg) itu dianggarkan bernilai RM3.95 juta.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai transporter," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Isnin.

Beliau berkata, polis masih menyiasat modus operandi sindiket selain mengesan rangkaian sindiket terbabit.

Jelasnya, polis percaya bekalan dadah ini untuk pasaran dalam negara.

Tegasnya, susepk kini sedang direman 14 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Tangkapan dan rampasan ini membuktikan kewujudan sindiket pengedaran dadah yang aktif dan terancang serta memberi ancaman serius kepada masyarakat. Polis akan terus giat tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi," ujarnya.