Kelembapan ekonomi domestik, saingan kadar deposit dijangka jejaskan pendapatan Hong Leong Bank - Maybank IB
azan
01/12/2023 - 11:54
KUALA LUMPUR 1 Dis - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan sebarang kelembapan dalam ekonomi domestik akan menjejaskan pendapatan Hong Leong Bank Berhad.
Katanya, perkara itu merangkumi peningkatan dalam persaingan kadar deposit.
"Kemerosotan dalam prospek ekonomi China, terutamanya melibatkan Bank of Chengdu akan memberi kesan negatif terhadap sumbangan daripada syarikat bersekutu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, hasil bank susut kepada RM1.39 bilion bagi suku tahun pertama berakhir 30 September 2023 (1QFY24) kesan daripada perbelanjaan operasi tinggi.
Kumpulan bagaiamanapun mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.24 bilion, peningkatan RM56 juta atau 4.7% berbanding suku sama sebelum ini disebabkan pulangan bersih bersih elaun bagi kerugian rosot nilai ke atas pinjaman.
Dalam perkembangan sama, untung bersih kumpulan itu meningkat 4.9% kepada RM1.03 bilion pada 1QFY24 dengan pinjaman serta pembiayaan kasar berkembang 7.2% dari tahun ke tahun.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan pinjaman adalah 7.2% tetapi tidak berubah dari suku tahun ke suku tahun, bagi pasaran domestik, gadai janji dan pembiayaan kenderaan masing-masing meningkat 7.5% dan 9.2% manakala pinjaman tidak bercagar meningkat 5.3%.
Pinjaman kepada perusahaan perniagaan domestik dan perusahan kecil dan sederhana (PKS) masing-masing meningkat 8% dan 10.4%. Pertumbuhan pinjaman luar negara lebih perlahan (+4.4% ) dengan pinjaman di Singapura meningkat 6.2%.
"Margin faedah bersih (NIM) adalah stabil pada 1.84% pada 1QFY24 berbanding 1.83% pada 4QFY23 berbanding 1.98% pada FY23 dan ia merupakan pemampatan sebanyak 14bps," katanya.
Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' pada harga RM23.00 sesaham. - DagangNews.com

