Unjuran untung bersih Wasco pada FY23-25 diturunkan 9% sehingga 20% – Maybank IB
diyana
29/11/2023 - 10:09
KUALA LUMPUR 29 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menurunkan unjuran keuntungan bersih Wasco Berhad pada tahun kewangan 2023, 2024 dan 2025 (FY23-25) masing-masing sebanyak 20%, 9% dan 9%, selepas memindahkan liputan kepada penganalisis baharu, Jeremie Yap.
Bagaimanapun, harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.55 sesaham ditambat kepada nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY24 sebanyak 12 kali ganda – sejajar dengan penggiat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan berbanding PER FY23 sebanyak 10 kali ganda sebelum ini.
Firma penyelidikan itu kekal positif terhadap prospek Wasco, disokong oleh tempahan tertunggak yang lebih kukuh, saluran tender dan margin.
“Penilaian adalah tidak menuntut kerana ia bersedia untuk pertumbuhan berbilang tahun. Wasco ialah pilihan ‘beli’ teratas sektor kami,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengulas mengenai keuntungan Wasco berjumlah RM49.9 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), Maybank IB menganggap ia dalam jangkaan dengan merangkumi anggarannya dan konsensus bagi FY23 masing-masing sebanyak 68% dan 71%.
Hal ini kerana firma itu menjangkakan Wasco mencatatkan 4QFY23 lebih kukuh berdasarkan pengebilan kemajuan daripada projek utamanya, iaitu EACOP dan Yinson Agogo FPSO.
“Anggaran kami telah menggabungkan kemenangan kerja dalam FY24 dan FY25 masing-masing berjumlah RM3.8 bilion dan RM3.5 bilion.
“Prospek jangka pertengahannya kelihatan baik: i) buku pesanan yang sihat (salutan paip dimuatkan) pada RM3.3 bilion pada akhir September 2023; dan ii) saluran tender kukuh sebanyak AS$7 bilion.
“Wasco akan mempertimbangkan penjualan aset bukan terasnya sekiranya terdapat tawaran menarik,” tambahnya.
Menurut Maybank IB, kumpulan itu telah memenangi dua pekerjaan baharu pada 3QFY23, iaitu kontrak oleh Schneider Electric France bernilai AS$34 juta (RM162 juta) untuk pembekalan bangunan pra-fabrikasi, yang akan disiapkan dalam tempoh 17 bulan.
Kontrak kedua pula melibatkan kerja salutan paip lebih 20 kilometer untuk CCS (Porthos) untuk Nederlandse Gasunie (NG), bernilai AS$13.4 juta (RM63 juta), yang akan disiapkan dalam masa tujuh bulan.
“Kami meramalkan pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 36% pada FY24 kerana kami difahamkan bahawa sebahagian besar pengebilan kemajuan dipercepatkan untuk projek EACOP (RM1.1 bilion) dan Yinson (RM558 juta) akan diiktiraf tahun depan. Kadar siap semasa bagi kedua-dua projek masing-masing pada 37% dan 31%,” katanya.
Setakat pukul 10:05 pagi ini, saham Wasco telah menokok 2 sen atau 2.1% kepada 96.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM747.8 juta. - DagangNews.com

