Kelewatan penerbitan laporan tahunan FY24 Sentoria disebabkan masalah kewangan, kekurangan kakitangan

30/04/2025 - 16:18
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 30 April - Sentoria Group Bhd mengakui berlaku kelewatan dalam penerbitan laporan tahunan kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) disebabkan masalah kewangan dan kekurangan kakitangan.
Syarikat itu tidak dapat memenuhi tarikh akhir empat bulan yang ditetapkan di bawah Perenggan 9.23(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR), yang berakhir pada 30 April 2025.
Menurutnya, kelewatan itu berpunca daripada kekangan kewangan yang berterusan, yang diburukkan lagi oleh beberapa surat tuntutan, saman undang-undang dan proses pelantikan penerima (receivership).
Sentoria berkata, keadaan itu menjejaskan keupayaannya untuk menggerakkan sumber dalaman yang mencukupi, khususnya dalam jabatan kewangan.
“Syarikat sedang mengalami kekangan kewangan yang menghalang keupayaannya untuk mengambil sumber tambahan, khususnya kakitangan perakaunan yang berkelayakan, bagi menyiapkan dan memuktamadkan penyata kewangan.
“Kekurangan tenaga kerja perakaunan yang berkelayakan memburukkan lagi cabaran untuk menyiapkan pelaporan kewangan dalam tempoh masa yang ditetapkan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Selain itu, perubahan pengurusan baru-baru ini dan kekurangan tenaga kerja turut menyukarkan usaha memuktamadkan akaun.
Kumpulan itu berkata, ia sedang bekerjasama rapat dengan juruaudit luar bagi menyediakan dokumentasi dan sokongan yang diperlukan untuk menyiapkan audit secepat mungkin.
Di bawah MMLR, syarikat diberi tempoh empat bulan dari tarikh akhir tahun kewangan untuk mengeluarkan laporan tahunan mereka.
Sekiranya Sentoria gagal berbuat demikian dalam tempoh lima hari pasaran selepas tarikh akhir – menjadikan 8 Mei 2025 sebagai hari terakhir – Bursa Securities akan menggantung dagangan sekuriti syarikat bermula 9 Mei 2025.
Penggantungan itu akan berkuat kuasa sehingga laporan tahunan diterbitkan, melainkan Bursa Securities membuat keputusan sebaliknya.
Selain itu, sekiranya Sentoria gagal mengeluarkan laporan berkenaan dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir, Bursa Sekuriti akan memulakan prosedur penyahsenaraian seperti yang diperuntukkan di bawah Perenggan 9.28(6) MMLR.
Walaupun berdepan pelbagai halangan, kumpulan itu komited untuk menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.
“Lembaga pengarah mengakui kepentingan untuk memenuhi obligasi syarikat di bawah MMLR. Syarikat sedang berusaha menangani kekangan sumber dan akan terus berusaha untuk memastikan Laporan Tahunan 2024 dapat diterbitkan selewat-lewatnya pada 15 Mei 2025,” tambahnya.
Ini menandakan tempoh kritikal bagi Sentoria ketika ia bergelut dengan tekanan undang-undang, operasi dan kewangan, dengan status penyenaraiannya kini menjadi taruhan sekiranya isu ini tidak diselesaikan dengan segera.- DagangNews.com
standard
