Kelewatan projek naik taraf sistem bagasi KLIA jejas pendapatan T7 Global - Phillip Research

19/05/2025 - 10:30
Gambar/klia2.info Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 19 Mei - Kelewatan dalam projek sistem pengendalian bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka memberi kesan negatif kepada pendapatan T7 Global Bhd, menurut laporan Phillip Research.
Disebabkan kelewatan kerja dan keuntungan yang lebih rendah, firma penyelidikan itu mengurangkan jangkaan pendapatan T7 Global bagi tahun 2025 dan 2026 sebanyak 16% hingga 17%.
Bagaimanapun, Phillip Research masih mengekalkan saranan 'beli' untuk saham syarikat tersebut, namun dengan harga sasaran yang lebih rendah iaitu 34 sen berbanding 66 sen sebelum ini.
"Risiko utama yang boleh menjejaskan prestasi saham T7 Global termasuk kelewatan operasi unit pengeluaran di laut (Mopus), kelewatan berterusan projek BHS, serta kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan," katanya dalam satu nota kajian.
Phillip Research menjelaskan, projek BHS menyumbang 17% kepada hasil dan 21% kepada keuntungan bersih T7 Global pada tahun 2024.
"Oleh itu, jika kelewatan berterusan, ia akan memberi kesan kepada bahagian industri syarikat dan menjejaskan keuntungan pada tahun 2025 dan 2026," jelasnya.
T7 Global telah menyiapkan Fasa 1 kerja naik taraf BHS di Terminal 1 KLIA pada Februari 2025, namun kerja Fasa 2 dan 3 berjalan perlahan kerana kesukaran bekerja di lapangan terbang yang masih beroperasi.
Projek berkenaan sepatutnya siap menjelang Disember 2025, tetapi dijangka dijangka lewat antara satu hingga satu tahun setengah.
Bagaimanapun, jadual baharu masih belum disahkan secara rasmi.
Phillip Research yakin bahagian tenaga T7 Global akan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan syarikat dalam jangka panjang.
T7 Global kini menjadi penerima manfaat terbesar dalam pakej penyelenggaraan, pembinaan, dan pengubahsuaian (MCM) terbaharu, selepas berjaya meraih kontrak bernilai RM1.7 bilion.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kontrak yang belum dilaksanakan oleh syarikat mencecah RM4.5 bilion.
Dua unit pengeluaran mudah alih syarikat, Elise dan Shirley, yang masing-masing memulakan operasi pada Julai 2023 dan Ogos 2024, dijangka menyumbang pendapatan penuh pada 2025.
Syarikat juga aktif membida projek bernilai RM13.7 bilion, termasuk perkhidmatan kapal pengeluaran dan penyimpanan terapung, perkhidmatan MCM, perkhidmatan telaga minyak, pelupusan kemudahan luar pesisir dan projek berkaitan kerajaan.
Dengan buku tempahan yang kukuh dan peluang tender yang banyak, Phillip Research menjangkakan bahagian tenaga akan terus menjadi pemacu utama pendapatan T7 Global pada masa depan. - DagangNews.com
standard

