
Penyertaan kali pertama membawa tuah kepada Terry Tom Bejiod @ Mohammad Hanaffi apabila muncul juara PJ Joran 2026 selepas menaikkan ikan keli seberat 6.740 kilogram (kg) di Tasik Bandaran Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.
Mohammad Hanaffi, 45, dari Puchong yang menggunakan hati ayam sebagai umpan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 selepas tangkapannya muncul sebagai ikan terberat dalam pertandingan tersebut.
Menurutnya, dia tidak merancang menyertai pertandingan berkenaan, namun akhirnya mengambil bahagian selepas dipujuk anaknya.
“Ini kali pertama saya menyertai pertandingan ini dan tidak sangka terus menjadi juara. Anak yang memaksa saya menyertainya dan saya sangat gembira. Kemenangan ini saya kongsi bersama keluarga,” katanya.
Tempat kedua dimenangi Azrul Amrie Mohd. Zailani, 27, dari Gombak yang membawa pulang RM2,000 selepas menaikkan ikan keli seberat 6.390kg menggunakan umpan cacing.
Mislan Mohd. Jawahar, 60, dari Kajang pula menduduki tempat ketiga dengan tangkapan ikan keli seberat 5.190kg menggunakan umpan cacing, sekali gus menerima hadiah RM1,000.

Aktiviti tahunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang memasuki tahun kelapan penganjurannya itu disertai seramai 640 peserta, sekali gus melepasi sasaran awal penganjur seramai 500 peserta.
Peserta terdiri daripada kaki pancing dari Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak.
Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Sharinaz Samsudin berkata, selain menjadi aktiviti riadah bersama keluarga, program berkenaan bertujuan membantu membersihkan tasik serta memelihara ekosistem air.
Menurutnya, pertandingan itu juga menjadi antara usaha untuk mengawal pembiakan spesies ikan larangan, antaranya keli Afrika, ikan raja dan tilapia yang terdapat di tasik berkenaan.
Sepanjang pertandingan, hampir 300 ekor ikan berjaya didaratkan peserta termasuk tilapia, baung, ikan raja, ketutu dan haruan.
Katanya, program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Selangor, OUG Worldwide Sdn. Bhd., TCE Tackles Sdn. Bhd. dan Proton itu menyaksikan MBPJ akan meneruskan PJ Joran sebagai acara tahunan.
The post Keli seberat 6.74kg bawa tuah buat Hanaffi appeared first on Kosmo Online.
