Kelibat Muhammad Azeem ceriakan penonton di Stadium Nasional

15 Sep 2022 • 6:20 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi mencuri tumpuan penonton menerusi larian bertenaganya ketika memenangi saingan separuh akhir dua acara 100 meter (m) lelaki Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, hari ini.

Pemegang rekod 100m kebangsaan berusia 18 tahun itu yang berlari di lorong tiga, menjadi pelari pertama melintasi garisan penamat dengan kepantasan 10.33 saat (s) sekali gus menerima sorakan gemuruh ratusan penonton yang hadir.

Catatan dilakukan atlet Perak itu membolehkan beliau layak ke final yang dijadual esok sebagai pelari terpantas dalam keseluruhan tiga saingan separuh akhir sekali gus mengatasi masa dicipta rakan seperjuangan dalam kem kebangsaan Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Arsyad Md Saat.

“Alhamdulillah, syukur, hari ini pada pusingan separuh akhir saya dapat lakukan larian yang agak baik, antara larian yang terpantas dalam karier hidup saya, jadi saya harap dapat lakukan sesuatu pada final esok.

“Kalau ikutkan itu (10.33s) adalah lingkungan masa yang saya sasarkan, sebab sekarang lebih pentingkan konsistensi, selagi saya boleh buat di bawah 10.40s dan 10.30s ia sudah cukup bagi saya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Muhammad Haiqal yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 di Filipina merakam masa 10.57s dalam separuh akhir pertama manakala Muhammad Arsyad merekodkan 10.54s dalam separuh akhir tiga untuk turut mengesahkan tempat di final.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cabaran menanti di final, Muhammad Azeem menjangkakan saingan hebat bakal dihadapinya dalam usaha merangkul pingat emas.

“Insya-Allah (emas) kalau ada rezeki, tapi apa-apa pun saya tidak pandang rendah atlet lain, kita boleh lihat dalam separuh akhir pertama Haiqal lari bersahaja, kemudian dalam separuh akhir tiga ada Arsyad. Saya yakin mereka akan bagi saingan sangat bagus dan saya cuma ingin buat yang terbaik,” katanya.

Sebagai rekod, nama Muhammad Azeem mula menjadi perhatian selepas beliau memecahkan rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, awal bulan lepas.

Sementara itu, dalam saingan wanita, atlet negara Nor Sarah Adi yang mewakili Terengganu cemerlang memenangi separuh akhir pertama 100m dengan masa 11.94s sementara wakil Selangor Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal merakam 12.11s ketika menjuarai separuh akhir dua.

“Semua atlet sangat bersemangat, mereka kuat-kuat, catatan masa kami pun rapat...tadi saya sedikit bergelut dan ada rasa gementar. Semua itu menjadi pengajaran berguna dan kelemahan hari ini akan diperbaiki pada final esok,” kata Nor Sarah yang juga pemenang emas lompat bergalah Sukan SEA 2021.

Saingan final 100m esok menyaksikan seramai sembilan atlet akan beraksi dalam kategori lelaki dan lapan bagi kategori wanita.-Bernama