Kelington catat untung bersih RM30.4 juta bagi 1QFY26, disokong pelbagai projek berimpak tinggi

LocalBusiness & Finance
25 May 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kelington catat untung bersih RM30.4 juta bagi 1QFY26, disokong pelbagai projek berimpak tinggi Image from: Kelington catat untung bersih RM30.4 juta bagi 1QFY26, disokong pelbagai projek berimpak tinggi amree25/05/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 MeiKelington Group Berhad memulakan tahun kewangan 2026 dengan prestasi yang positif apabila keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 meningkat 14%.

 

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia mencatatkan sebanyak RM30.4 juta berbanding kira-kira RM26.6 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.


Menurut penyedia rumusan kejuruteraan bersepadu itu, peningkatan keuntungan tersebut dicapai meskipun pendapatan kekal hampir mendatar pada RM270.4 juta berbanding RM270.3 juta bagi 1QFY25.


"Perkembangan tersebut disokong oleh faktor margin keuntungan kasar yang lebih kukuh berikutan usaha tumpuan kumpulan ini kepada pelbagai projek berimpak margin tinggi," jelas Kelington lagi.


Margin keuntungan bersih kumpulan turut bertambah baik kepada kira-kira 11.2% daripada 9.9%, manakala keuntungan kasar meningkat ketara kepada sebanyak RM63.2 juta daripada RM48.6 juta.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Seng Chuan menambah, situasi berkenaan sekali gus turut berjaya melonjakkan margin keuntungan kasar syarikat kepada 23.4% berbanding 18% pada setahun lalu.


Pertumbuhan keuntungan Kelington secara berterusan itu ujar beliau, mencerminkan keberkesanan strategi kumpulan tersebut dalam memburu peluang perniagaan yang menawarkan margin lebih tinggi.


"Industri semikonduktor global terus menawarkan prospek pertumbuhan jangka panjang yang menarik susulan pelaburan berterusan dalam kemudahan pembuatan teknologi maju di seluruh dunia," katanya.


Dengan rekod prestasi dan keupayaan teknikal yang kukuh, kumpulan berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peluang apabila pelanggan terus memperluaskan serta menaik taraf kapasiti mereka.


Dari segi geografi, Singapura kekal sebagai penyumbang hasil terbesar dengan 40% daripada jumlah pendapatan kumpulan, diikuti Malaysia (31.5%), China (18.2%), Taiwan (3.7%) dan Jerman (2.7%).


Segmen kejuruteraan termaju terus menjadi penyumbang utama pendapatan dengan RM182.2 juta atau 66%, diikuti segmen infrastruktur industri termaju (RM46.2 juta) dan gas industri (RM30.7 juta).


Kelington turut mengekalkan kedudukan kewangan kukuh dengan pegangan tunai RM409.5 juta setakat 31 Mac 2026, melebihi jumlah pinjaman sebanyak RM171.5 juta, menjadikan tunai bersih RM238 juta.


"Sejajar prestasi yang dicapai, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 3 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026," jelas kenyataan kumpulan tersebut.


Pada masa sama, syarikat memiliki buku tempahan terkumpul bernilai RM1.9 bilion serta buku tender RM5.3 bilion yang menyediakan keterlihatan pendapatan yang kukuh untuk tempoh akan datang.


Selain itu, Kelington akan terus memperkukuh kehadiran di pasaran pertumbuhan utama termasuk India dan Jerman, selain menilai peluang baharu di Jepun sebagai sebahagian daripada strategi perluasan.


Kumpulan berkenaan juga giat mempertingkatkan keupayaan dalam bidang kejuruteraan mampan selaras dengan agenda peralihan tenaga negara dan pelaksanaan cukai karbon yang dirancang kerajaan.


“Kami kekal optimis terhadap prospek kumpulan, disokong permintaan struktur berterusan daripada industri semikonduktor global, buku tempahan mantap dan tender yang sihat,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard