Kelington terima kontrak RM1.83b untuk kemudahan fabrikasi di India

Business & Finance
14 Sep 2026 • 4:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kelington terima kontrak RM1.83b untuk kemudahan fabrikasi di India

PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu, Kelington Group Bhd (Kelington) menerima surat anugerah (LOA) dengan nilai kontrak sementara sebanyak AS$452 juta (kira-kira RM1.83 bilion) untuk sebuah kemudahan fabrikasi wafer semikonduktor di Gujarat, India.

Kontrak yang diperoleh melalui anak syarikat milik penuhnya, Kelington Engineering (S) Pte. Ltd. (KESG) itu melibatkan perkhidmatan penyambungan peralatan kemudahan secara menyeluruh secara serah kunci untuk kemudahan berkenaan.

Melalui LOA berkenaan, Kelington akan bertindak sebagai kontraktor utama dan melaksanakan keseluruhan reka bentuk, pemasangan, penyambungan, pengujian serta penyerahan peralatan pembuatan, makmal dan sokongan, termasuk sistem sokongan khusus peralatan berkaitan bagi Modul 1 dan Modul 2 kemudahan tersebut.

Kelington berkata, kerja-kerja berkenaan dijangka disiapkan dalam tempoh 30 bulan, dengan sasaran siap pada Februari 2029.

Menurutnya, nilai kontrak sementara itu merangkumi AS$249.9 juta (kira-kira RM1.01 bilion) bagi Modul 1 dan AS$202 juta (kira-kira RM817.2 juta) bagi Modul 2, meliputi sehingga 886 peralatan bagi kedua-dua modul.

Tambahnya, nilai kontrak akhir akan ditentukan berdasarkan jumlah sebenar peralatan dan perkhidmatan yang dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelington Group Bhd, Lim Seng Chuan berkata, projek semikonduktor itu merupakan pencapaian penting bagi kumpulan berkenaan, selain menjadi projek terbesar yang pernah diperolehnya sejak penubuhan syarikat.

Menurutnya, anugerah itu turut mengesahkan keupayaan, teknologi dan rekod pelaksanaan Kelington, selain menjadi langkah penting dalam meningkatkan keupayaan kontrak dan pengurusan kumpulan untuk bertindak sebagai kontraktor utama dalam perkhidmatan tersebut.

“Projek ini menyediakan platform penting untuk kami memperkukuh kehadiran dalam industri semikonduktor serta mewujudkan peluang pertumbuhan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kontrak terbaharu itu susulan daripada satu lagi kontrak yang diperoleh sebelum ini daripada pelanggan sama bagi skop kerja berbeza, mencerminkan keyakinan berterusan pelanggan terhadap keupayaan dan rekod pelaksanaan kumpulan, khususnya dalam penyelesaian teknologi dan proses (Kejuruteraan Lanjutan). 

Katanya, perkhidmatan penyambungan peralatan kemudahan secara menyeluruh secara serah kunci merupakan komponen penting bagi membolehkan peralatan pembuatan semikonduktor beroperasi, selain memerlukan penyelarasan rapat antara pelbagai disiplin kejuruteraan serta pematuhan kepada standard pelaksanaan yang ketat.

“India kini giat melabur bagi membangunkan keupayaan pembuatan semikonduktor domestiknya, sekali gus meletakkan Kelington pada kedudukan baik untuk mengambil bahagian dalam perkembangan tersebut.

“Skala anugerah ini mengukuhkan lagi kehadiran kami dalam pasaran berkenaan dan menyediakan asas kukuh untuk mengejar peluang selanjutnya ketika ekosistem semikonduktor India terus berkembang,” ujarnya. – UTUSAN

The post Kelington terima kontrak RM1.83b untuk kemudahan fabrikasi di India appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved