Keliru nak bahagi daging korban dengan betul, ini penjelasan padu Ustaz Azhar Idrus elak ramai terlepas pandang

6 Jun 2025 • 8:00 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha bakal diraikan seluruh umat Islam pada esok dan ramai yang tak lepaskan peluang keemasan untuk menunaikan ibadah korban ikut kemampuan masing-masing.

Sebenarnya, hukum ibadah korban ialah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut dan digalakkan.

Menurut Imam as-Syafie, ibadah korban digalakkan bagi mereka yang berkemampuan untuk bersedekah iaitu yang ada lebihan harta atau wang selepas menampung keperluan harian.

Buat kalian yang pertama kali berpeluang menunaikan ibadah korban, sama ada mampu bahagian atau seekor penuh kambing, biri-biri, lembu, kerbau atau unta, confirm rasa teruja, kan?

image is not available

Cuma, bagaimana pula dengan pembahagian daging korban nanti? Berapa bahagian boleh simpan untuk sendiri dan berapa pula untuk fakir miskin?

Untuk yang masih keliru, ini penjelasan daripada pendakwah popular, Ustaz Azhar Idrus yang berkongsi dua kaedah mudah pembahagian supaya ramai tak terlepas pandang.

image is not available

“Kalau dapat daging korban contohnya 15 kilogram (kg), ada dua cara pembahagian yang mana kedua-duanya pun dapat pahala,” katanya.

Kaedah pertama, bahagi 15kg kepada tiga bahagian seperti berikut:

- 5kg untuk makan sendiri bersama keluarga,

- 5kg untuk diberi kepada jiran atau kawan sepejabat (bukan fakir miskin)

- baki 5kg untuk disedekahkan kepada golongan memerlukan.

image is not available

Pun begitu menurut Ustaz Azhar, kalau nak pahala yang lebih besar, boleh ikut cara kaut pakai dua tapak tangan.

“Ambil dua tapak tangan, kaut daging sebanyak mana boleh untuk dibawa pulang.

“Kalau dapat 2kg, itulah rezeki kamu dan keluarga. Selebihnya, sedekahkan pada asnaf atau fakir yang memerlukan,” terangnya dalam petikan ceramah yang dikongsikan @siim_page di platform TikTok.

image is not available

Sementara itu, ada juga yang tertanya-tanya bolehkah diberikan daging korban kepada tukang sembelih atau lapah daging?

Ini jawapan padu daripada Ustaz Azhar yang dikongsi oleh @ceramah.ustaz33 di TikTok.

Menurut beliau, haram hukumnya memberi daging korban kepada mereka yang buat kerja sembelih/lapah sebagai upah.

image is not available

“Kenapa haram? Kerana ada hadis sahih yang mana Saidina Ali berkata, Rasulullah suruh aku urus sembelihan korban dan bahagi daging kepada orang miskin tapi tak beri walau sedikit pun kepada tukang sembelih. Kami bayar mereka dengan harta lain.”

Disebabkan hadis inilah empat mazhab sepakat mengatakan ia haram bagi orang yang buat ibadah korban beri daging sebagai upah kepada penyembelih atau pelapah daging.

Namun, jika daging itu diberikan bukan semasa mereka bekerja dan dengan niat sedekah semata-mata, hukumnya harus.

image is not available

“Dah kalau macam itu siapa nak datang sembelih? Saidina Ali jawab kami bukan suruh saja, kami upah juga dengan duit lebih baik.

“Bukan ke lagi elok sebagai contohnya, RM70 upah untuk seekor lembu. Kalau sehari sembelih 100 ekor? Banyak dapat upah tu.”

image is not available

Buat kalian yang bakal menunaikan ibadah korban tahun ini, semoga dipermudahkan semua urusan dan hadam baik-baik ilmu yang dikongsi supaya tak tersalah langkah.