Keluar simpang mengejut, pemuda maut

7 Mar 2025 • 11:46 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan dua motosikal yang terlibat dalam kemalangan di di Jalan Kampung Pengadang Baru dekat Kuala Terengganu, pada malam Khamis.

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di Jalan Kampung Pengadang Baru di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, nahas berlaku sekitar jam 10.45 malam itu menyebabkan Muhammad Adam Syakir Rahmat, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca apabila motosikal jenis Honda RS150R ditunggang mangsa dipercayai keluar secara mengejut dari simpang Sungai Rengas menuju ke simpang Taman Adeli 2.

"Ketika kejadian, sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y125 yang ditunggang seorang lelaki datang dari arah Jalan Kepong tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kanan motosikal mangsa.

"Akibat kemalangan itu, Muhammad Adam mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

"Penunggang motosikal Yamaha Y125, Muhammad Hafeeq Izzuan Mohd Izzad Izzuan, 21, juga parah dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.