Keluarga 55 rakyat Malaysia masih berharap, tunggu pengesahan rasmi

LocalFamily & Parenting
24 Sep 2026 • 9:01 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Keluarga 55 rakyat Malaysia masih berharap, tunggu pengesahan rasmi

SHAH ALAM, 24 SEPT: Keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi selepas banjir besar dan tanah runtuh di Nepal masih berharap insan tersayang ditemukan dan tidak mahu membuat sebarang kesimpulan selagi tiada pengesahan rasmi berhubung nasib mereka.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam berkata walaupun sudah 29 hari berlalu, keluarga masih percaya kemungkinan untuk mereka ditemukan tetap ada, lapor Harian Metro.

“Kami masih mempunyai harapan, kami percaya keajaiban masih boleh berlaku.

“Selepas 29 hari, kami sedar keadaan ini semakin sukar. Namun, kita juga tidak boleh menolak kemungkinan ada antara mereka yang dihanyutkan ke kawasan lain, dibantu penduduk tempatan atau berada di kawasan terpencil tanpa akses komunikasi,” katanya ketika dihubungi.

Manivannan yang juga abang kepada Komathi Rethinam yang masih belum dapat dihubungi berkata keluarga pada masa sama bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan.

“Sekiranya ada tidak dapat diselamatkan, kami berharap jasad mereka ditemukan, dikenal pasti dan dibawa pulang untuk penghormatan terakhir mengikut agama serta kepercayaan masing-masing.

“Bagi kami yang paling menyakitkan ialah tidak mengetahui apa berlaku kepada orang yang kami sayangi. Sebab itu, pencarian mesti diteruskan sehingga mendapat jawapan yang pasti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, MASFIH turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencadangkan satu mekanisme rasmi diwujudkan bagi membantu keluarga 55 rakyat Malaysia itu sekiranya usaha pencarian gagal memberikan kepastian berhubung nasib mereka.

Manivannan berkata pihaknya turut mengalu-alukan perbincangan langsung Anwar dengan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, berhubung nasib rakyat Malaysia berkenaan kelmarin.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved