Keluarga Rakyat Malaysia Hilang Di Nepal Tuntut Jawapan Kerajaan

22 Sep 2026 • 2:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Keluarga Rakyat Malaysia Hilang Di Nepal Tuntut Jawapan Kerajaan

KUALA LUMPUR - Keluarga rakyat Malaysia yang masih hilang selepas bencana banjir kilat glasier di Nepal menuntut penjelasan kerajaan mengenai nasib anggota keluarga mereka dalam pertemuan pada Ahad.

Jurucakap Malaysia Solidarity Families in Hope, Subramaniam Murugaya berkata, keluarga yang terbabit masih belum menerima perkembangan terkini operasi pencarian sejak pasukan Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team (SMART) berlepas pulang dari Nepal pada 14 September lalu.

Katanya, pertemuan yang dianjurkan Wisma Putra itu dijadualkan berlangsung pada 10 pagi, dengan dua wakil daripada setiap keluarga terjejas dibenarkan hadir.

“Pertemuan ini melibatkan lima agensi iaitu Jabatan Peguam Negara, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Majlis Keselamatan Negara.

“Dalam pertemuan ini, kami mahu bertanya apa yang dilakukan pasukan SMART dan apa yang mereka temui kerana kami tidak menerima perkembangan harian daripada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Subramaniam, keluarga terbabit selama ini mengikuti perkembangan kejadian melalui portal berita Nepal sejak banjir melanda pada 26 Ogos lalu sementara menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Malaysia.

Katanya, mereka mahu menuntut penjelasan mengenai status perundangan individu yang masih hilang sekiranya Nepal mengambil langkah mengiktiraf secara sah mereka yang tidak dapat dikesan selepas bencana itu.

“Ini supaya mereka boleh meneruskan urusan seperti hak pewarisan, tuntutan insurans dan pampasan.

“Jika pihak Nepal memberikan penyelesaian seperti itu, adakah Malaysia juga boleh mengisytiharkan langkah sama?” katanya.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini berkata, Nepal boleh mengeluarkan sijil kematian tiga tahun selepas seseorang dilaporkan hilang atau tidak dapat dikesan, berbanding tujuh tahun di Malaysia.

Selain itu, keluarga terbabit turut merancang untuk bertanya sama ada kerajaan boleh mempertimbangkan moratorium bayaran balik pinjaman bagi mengurangkan tekanan kewangan keluarga yang kehilangan pencari nafkah.

“Ada keluarga yang mempunyai pinjaman kereta dan rumah yang masih belum selesai. Anak-anak masih belajar dan ada pelbagai lagi keadaan lain,” katanya.

Subramaniam berkata ketidakpastian mengenai nasib anggota keluarga yang hilang turut menyebabkan mereka tidak dapat menentukan bila dan bagaimana upacara pengebumian atau penghormatan terakhir perlu dilakukan.

“Upacara terakhir pun kami tidak tahu sama ada perlu dilakukan atau bagaimana untuk melakukannya kerana kami tidak tahu bila mereka meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian keluarga turut menghadapi kesukaran mengakses wang milik anggota keluarga yang hilang, selain terus berdepan ketidakpastian berhubung kehilangan mereka. - Getaran, 22 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved