Keluarga diganggu 13 along gara-gara hutang RM183,750

LocalPersonal Finance
30 Sep 2026 • 2:03 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Keluarga diganggu 13 along gara-gara hutang RM183,750

KUALA LUMPUR – Sebuah keluarga di Semenyih berdepan gangguan pemberi pinjaman wang tidak berlesen (along) selepas anak lelaki mereka didakwa berhutang sebanyak RM183,750 dengan 13 along.

Seorang wanita dikenali sebagai Yeow, 51, membuat laporan polis selepas anak lelakinya, Bryan Law, 24, didakwa membuat pinjaman berkenaan bagi menampung perbelanjaan perniagaan.

Menurutnya, laporan dibuat pada 25 September lalu selepas pihak keluarga menerima mesej dan panggilan daripada along yang menuntut mereka menutup sebuah kafe.

“Dua pemberi pinjaman wang turut mengganggu pemilik baharu kafe berkenaan di Petaling Jaya dan mengugut untuk membakar premis terbabit.

“Bukan itu sahaja, telefon bimbit turut digodam sebelum along berkenaan menyamar sebagai rakannya dan menghantar mesej kepada kenalannya bagi cuba mengesan keberadaannya,” katanya pada sidang akhbar dihadiri Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, di sini hari ini.

Tambah Yeow, terbaharu pada Isnin lalu, along terbabit didakwa turut mengesan alamat rumah lama mereka di Bandar Sunway, walaupun rumah berkenaan sudah dijual sejak enam tahun lalu.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sunway pada 29 September lalu.

Sementara itu, seorang lagi mangsa along, Tan, 38, mendakwa rumahnya di Setapak dan kereta milik kakaknya diconteng cat merah selepas seorang lelaki yang mempunyai kaitan kekeluargaan dengan mereka didakwa berhutang RM13,800 dengan dua along.

Menurutnya, gangguan bermula selepas dia menerima risalah mencari Lim Choon Yung, 45, pada 10 Ogos lalu, diikuti surat tuntutan hutang pada 20 Ogos.

“Pemungut hutang turut mengugut untuk merosakkan harta benda dan menyimbah cat merah jika hutang tidak dijelaskan,” katanya.

Bagaimanapun, pada 26 September lalu, rumah mangsa di Setapak dan kereta kakaknya disimbah cat merah sebelum laporan dibuat di Balai Polis Wangsa Maju. – KOSMO! ONLINE

The post Keluarga diganggu 13 along gara-gara hutang RM183,750 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved