Keluarga diraja Kedah beri semangat kepada mangsa letupan

19 Jul 2026 • 3:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keluarga diraja Kedah beri semangat kepada mangsa letupan
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama keluarga berkenan menyantuni Reeya (dua kiri) dan ibu bapanya di Istana Kedah di Pulau Pinang pada Sabtu.
Image from: Keluarga diraja Kedah beri semangat kepada mangsa letupan
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama keluarga berkenan menyantuni Reeya (kiri) dan ibu bapanya di Istana Kedah di Pulau Pinang pada Sabtu.

GEORGETOWN – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama keluarga berkenan menyantuni Reeya Kaur Thandal, 19, dan ibu bapanya sebagai tanda keprihatinan serta sokongan moral kepada mangsa tragedi letupan pemampat pendingin hawa awal tahun lalu.

Pertemuan yang berlangsung di Istana Kedah di sini pada Sabtu turut disertai Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta anakanda baginda, Tunku Zara Bahiyah dan Tunku Sulaiman Badlishah.

Dalam pertemuan itu, keluarga diraja Kedah meluangkan masa beramah mesra, bertanya khabar serta memberikan kata-kata semangat kepada Reeya dan keluarganya yang kini sedang melalui tempoh sukar.

**media[3587505]**

Pertemuan berkenaan diadakan sebagai tanda keprihatinan institusi diraja terhadap keadaan Reeya yang mengalami kecederaan serius dalam insiden letupan ketika kerja-kerja penyelenggaraan pemampat pendingin hawa di sebuah universiti di Kuala Lumpur sebelum ini.

Reeya yang merupakan pelajar jurusan undang-undang dilaporkan mengalami keretakan tengkorak dan pendarahan dalam otak selepas cedera dalam kejadian tersebut.

Insiden itu mengorbankan seorang individu, manakala sembilan lagi cedera dengan Reeya dilaporkan mengalami kecederaan paling serius.

Sebelum ini, kejadian berkenaan mendapat perhatian masyarakat dan Raja Puan Muda Kedah turut berkenan menziarahi Reeya ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kunjungan itu bertujuan menyampaikan sokongan kepada mangsa selain memastikan kebajikan Reeya dan keluarganya sentiasa diberi perhatian.

Ibu Reeya adalah anak jati negeri Kedah, sekali gus menjadikan hubungan kekeluargaan dan kebajikan mangsa terus mendapat perhatian daripada keluarga diraja negeri itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved