Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin meluahkan penghargaan mendalam kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas nukilan ikhlas mengenang Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tular di media sosial semalam.
Menerusi ruangan komen pada hantaran Anwar, Khairy yang juga menantu kepada Allahyarham menyifatkan kata-kata Anwar sebagai “nukilan ikhlas” yang sangat menyentuh perasaan. Nukilan itu juga menggambarkan keikhlasan sebuah persahabatan lama yang penuh nilai kemanusiaan.
“Terima kasih, sir, atas beberapa nukilan ikhlas yang dikarya mengingati sahabat lama. Kami sekeluarga amat tersentuh dengan kemuliaan kata Dato’ Seri terhadap ayahanda Pak Lah,” tulis beliau.
- MRSM Ulul Albab Kepala Batas akan ditukar nama kepada MRSM Tun Abdullah Badawi
- AS kenakan tarif balas hingga 245% terhadap barangan China
- Prasarana tarik balik iklan tren Rapid KL selepas visualnya dikecam netizen
- ‘Bendera lambang kedaulatan negara, tidak boleh dipersendakan’ – YDPA
- Lawatan Presiden China: Jalan ditutup bukan sengaja, ini penjelasan dari sudut keselamatan negara
Keluarga terharu
Menurut Khairy, keluarganya berasa sangat terharu bukan sahaja dengan penghargaan kata-kata yang diungkap oleh Anwar, malah juga atas pengiktirafan kerajaan dalam memberikan istiadat pengebumian negara yang istimewa buat Allahyarham Pak Lah.
“Penghargaan jua kepada Dato’ Seri dan kerajaan kerana memberi penghormatan kepada Pak Lah dengan mengizinkan satu istiadat pengebumian yang teristimewa dan kebenaran untuk jenazahnya disemadikan di Makam Pahlawan bersama negarawan-negara yang lain,” tambah beliau.
Khairy turut menzahirkan bahawa penghormatan ini akan sentiasa dikenang oleh keluarganya, kerana ia bukan sekadar penghormatan kepada seorang bekas Perdana Menteri, tetapi juga kepada insan yang dikenali rakyat sebagai pemimpin berjiwa besar.
“I shall forever be grateful for this, sir,” tulisnya ringkas namun penuh makna.
Tun Abdullah sebagai pemimpin yang damai
Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhir pada pagi Ahad lalu. Jenazah beliau dikebumikan dengan penuh istiadat negara dan disemadikan di Makam Pahlawan, bersebelahan beberapa bekas Perdana Menteri lain termasuk Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menulis nukilan panjang mengenang peribadi Allahyarham sebagai pemimpin yang lembut, mendamaikan dan sarat dengan nilai kemanusiaan.
Beliau menzahirkan kekaguman terhadap keperibadian Pak Lah yang tidak pernah menyimpan dendam walaupun berdepan perbezaan politik, serta dikenang sebagai tokoh yang memberi ruang kepada reformasi dalam kehakiman dan ketelusan dalam tadbir urus.
Kenyataan Anwar disambut baik oleh pelbagai pihak termasuk rakyat dan pemimpin politik yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mengenang jasa besar beliau kepada negara.
Sumber: Instagram Anwar Ibrahim
The post ‘Keluarga kami tersentuh dengan penghormatan terhadap Pak Lah’ – KJ hargai nukilan Anwar appeared first on The Reporter.

