Keluarga mangsa hilang gesa maklumat lebih jelas, usaha mencari dipergiat di Tibet

30 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keluarga mangsa hilang gesa maklumat lebih jelas, usaha mencari dipergiat di Tibet

BEIJING: Ahli keluarga mangsa yang masih hilang selepas banjir besar melanda wilayah Tibet menggesa pihak berkuasa China dan Nepal berkongsi maklumat yang lebih jelas serta mengadakan komunikasi terus dengan waris, ketika usaha mencari terus dipergiatkan.

Kebimbangan meningkat selepas media kerajaan China melaporkan seramai 16 orang maut dan 546 orang lagi masih hilang dalam banjir di Tibet.

Daripada jumlah yang hilang itu, 261 merupakan warga asing dari 23 negara termasuk tiga rakyat Malaysia.

Daripada jumlah itu, enam warga Australia dilaporkan masih hilang di kawasan sempadan China-Nepal, namun belum dapat dipastikan sama ada mereka termasuk dalam 41 warga Australia yang dilaporkan belum ditemui.

Menurut penyiar ABC, difahamkan jumlah warga Australia yang belum diketahui keberadaannya kini meningkat kepada 42 orang, namun angka itu masih belum disahkan secara rasmi.

Antara yang masih hilang ialah Sumi Adhikari dari Sydney. Suaminya, Nava Pandey, telah pergi ke Nepal bagi membantu usaha mengesan isterinya.

Pandey menggesa kerjasama rapat antara pihak berkuasa Nepal dan China bagi mempercepatkan usaha mencari mangsa.

“Kami dengan penuh hormat menggesa kerajaan China dan pihak berkuasa tempatan supaya mendedahkan semua maklumat yang telah disahkan, memberikan kemas kini berkala mengenai usaha mencari mangsa serta mewujudkan komunikasi terus dengan keluarga yang terjejas.

“Keluarga tidak sepatutnya dibiarkan tanpa jawapan dalam keadaan yang amat kritikal ini,” katanya.

Seorang lagi yang masih hilang ialah Reshma Patel dari Newcastle, New South Wales yang merupakan anggota kumpulan pelancong sama.

Suaminya, Bhavin Patel turut berlepas ke Nepal bagi membantu usaha mencari isterinya. Katanya, data telefon menunjukkan isterinya dipercayai telah menyeberang masuk ke Tibet.

“Kami dengan penuh hormat merayu kepada Australia, Nepal dan China supaya segera menyelaras usaha serta meneruskan operasi mencari di kawasan Gyirong.

“Keluarga kami amat terdesak dan memerlukan bantuan untuk mengesannya,” katanya.

The post Keluarga mangsa hilang gesa maklumat lebih jelas, usaha mencari dipergiat di Tibet appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved