BATU PAHAT - Keluarga kepada kanak-kanak perempuan yang diserang anjing liar sehingga parah di Peserai, di sini Sabtu lalu menafikan dakwaan haiwan itu milik datuk mangsa.
Ibu saudara Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamzi, yang mahu dikenali Nur, 23, berkata, tuduhan yang dibuat kepada keluarga mereka adalah tidak berasas.
“Saya sangat kesal dengan tuduhan berkenaan sebab keluarga kami bukan orang kaya yang boleh beli anjing.
“Sudah-sudahlah, berilah ruang kepada kami untuk fokus menjaga Haira dan jangan keruhkan keadaan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Dalam hantaran di media sosial yang tular itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Dogs Deserve Better mendakwa mempunyai maklumat berhubung pemilik anjing liar tersebut.
Bagaimanapun, pihaknya merahsiakan identiti pemilik demi menghormati dan menjaga perasaan keluarga mangsa.
NGO itu turut meminta orang ramai menghentikan kecaman dan tindakan yang boleh menimbulkan salah faham kepada mereka.
Laporan polis juga akan dibuat oleh NGO itu atas sikap tidak bertanggungjawab pemilik anjing yang gagal memandulkan, memberi vaksin dan tidak menyediakan makanan mencukupi kepada haiwan liar tersebut.
Dalam perkembangan sama, bapa saudara mangsa, Shahrizal Mohd Hanafiah turut melakukan perkara sama menerusi kenyataan yang dimuat naik di aplikasi Threads.
Shahrizal berkata, anjing tersebut adalah zuriat anjing pemburu yang lahir di kebun dan dibiarkan hidup seperti haiwan liar lain.
“Adakah membiarkan anjing itu hidup bermaksud kami memilikinya? Kenapa perlu wujud naratif menyalahkan keluarga mangsa?,”
“Saya mengharapkan spekulasi ini dihentikan segera,” ujarnya.
Justeru, mereka sekeluarga memohon ruang diberikan memandangkan kanak-kanak malang itu sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.





