Keluarga Pendaki Hilang Rayu Operasi SAR Di Nepal Diteruskan Selepas SMART Pulang

14 Sep 2026 • 11:34 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Keluarga Pendaki Hilang Rayu Operasi SAR Di Nepal Diteruskan Selepas SMART Pulang

KUALA LUMPUR - Keluarga pendaki Malaysia, Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, merayu supaya operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Nepal diteruskan, selepas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kembali ke tanah air.

Rayuan itu dibuat susulan ketiadaan perkembangan jelas mengenai nasib Muhaimin yang dilaporkan hilang di Nepal sejak 26 Julai lalu.

Dua rakannya, Muhammad Zaki Othman, 29, dan Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, turut dilaporkan tidak dapat dihubungi selepas kejadian banjir dan tanah runtuh melanda kawasan berkenaan.

Kakak ipar Muhaimin yang hanya mahu dikenali sebagai Fina berkata, sehingga semalam, iaitu hari ke-20 sejak kehilangan Muhaimin, keluarganya masih belum menerima maklumat terperinci mengenai perkembangan operasi pencarian.

“Kami sangat kecewa kerana daripada 55 rakyat Malaysia yang masih hilang, seorang pun belum ditemui. Kemudian pasukan SMART pula sudah pulang.

“Tiada perkembangan daripada pihak Nepal menyebabkan keluarga kami terus tertanya-tanya dan menunggu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Fina berharap pihak berkuasa dapat meneruskan operasi SAR, termasuk memperluaskannya ke kawasan perkampungan dan lokasi lain yang berkemungkinan menjadi tempat mangsa berada.

“Kalau boleh, kami mahu operasi SAR diteruskan. Biarlah pasukan itu terus berada di sana dan mencari di kawasan kampung atau mana-mana lokasi lain yang berkemungkinan.

“Kami cuma mahu kepastian mengenai keadaan Muhaimin,” katanya.

Beliau berkata keluarganya akan terus menunggu kepulangan Muhaimin selagi statusnya masih belum diketahui.

“Selagi kami tidak tahu keadaannya sekarang, kami akan terus menunggu dia pulang. Kalau dia sudah tiada, kami terima, tetapi kami hanya berharap jasadnya dapat ditemukan. Itu sahaja harapan kami,” katanya.

Rayuan keluarga itu dibuat ketika Wisma Putra menegaskan bahawa kepulangan SMART dari Nepal tidak bermakna usaha untuk mengenal pasti status 55 rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dihubungi di Nepal dan China telah dihentikan.

Kementerian Luar berkata, memaklumkan SMART kembali ke Malaysia hari ini selepas menjalankan operasi pencarian di beberapa kawasan di Nepal yang boleh dimasuki dengan selamat serta mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.

“SMART akan memberi taklimat kepada Kementerian Luar di Putrajaya mengenai penugasan serta maklumat yang diperoleh sepanjang operasi di lapangan,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang berada di Nepal, pasukan berkenaan menjalankan pencarian di kawasan yang boleh diakses dengan selamat dan mendapat kebenaran pihak berkuasa Nepal, termasuk operasi pencarian di darat serta tinjauan udara menggunakan dron.

Wisma Putra berkata, berakhirnya penugasan SMART di lapangan tidak mengubah status semasa rakyat Malaysia yang terjejas.

“Kementerian bersama agensi berkaitan akan menilai maklumat yang diperoleh SMART serta perkembangan terbaharu dari Nepal bagi menentukan tindakan susulan yang bersesuaian,” katanya.

Pihak berkuasa Nepal pula masih meneruskan usaha pencarian, pengesahan dan pengenalpastian susulan bencana berkenaan berdasarkan maklumat terkini yang diterima Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada bantuan Malaysia terhadap usaha tindak balas bencana Nepal, SMART turut memberikan latihan pengendalian dron kepada pasukan penyelamat Nepal selain menyerahkan sembilan dron kepada Kerajaan Nepal menerusi National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA).

Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa berkaitan, selain membuat semakan dengan hospital serta agensi berkenaan.

Kedutaan itu juga akan menjalankan pemeriksaan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan dan mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal.

Di China pula, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan bagi mendapatkan perkembangan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas serta sebarang maklumat yang boleh membantu mengenal pasti status mereka.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kepulangan SMART dibuat selepas penilaian mendapati operasi pasukan itu di Nepal sudah hampir mencapai penghujungnya dan tidak banyak lagi yang boleh dilakukan di lapangan. - Getaran, 14 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved