Usaha mendapatkan kepastian mengenai nasib 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana banjir besar di Nepal tetap diteruskan walaupun penugasan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di negara itu telah berakhir.

Memetik laporan Berita Harian, Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyedari keputusan menamatkan penugasan SMART dan kepulangan pasukan berkenaan hari ini mungkin menimbulkan kebimbangan kepada keluarga yang masih menanti berita mengenai insan tersayang.
Menurut kementerian itu, hubungan dengan waris terdekat rakyat Malaysia yang terlibat terus dipelihara bagi memastikan sebarang perkembangan yang telah disahkan dapat disampaikan kepada mereka terlebih dahulu.
“Kementerian kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat rakyat Malaysia yang terbabit dan akan terus menyalurkan perkembangan berdasarkan maklumat yang sudah disahkan.
“Sekiranya terdapat perkembangan yang sudah disahkan mengenai status seseorang rakyat Malaysia, waris terdekat akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum.
“Semua 55 rakyat Malaysia berkenaan kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan,” katanya.
Sebelum ini, beberapa keluarga rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan meluahkan kekecewaan dan rasa terkilan selepas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, memaklumkan bahawa pasukan SMART yang ditugaskan ke Nepal akan kembali ke Malaysia.
Mohamad dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas operasi berkenaan berada pada peringkat penghujung dan kemampuan pasukan terbabit untuk meneruskan tindakan di lapangan juga semakin terhad.
Dalam perkembangan berkaitan, KLN memaklumkan pihak berkuasa Nepal masih meneruskan proses pencarian, pengesahan serta pengecaman mangsa berdasarkan perkembangan terbaharu yang diterima dari negara berkenaan.
“Bagi menyokong usaha tindak balas bencana yang masih dilaksanakan oleh pihak Nepal, SMART sudah memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat Nepal.
“Sementara itu, sembilan dron sudah diserahkan kepada Kerajaan Nepal melalui National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA) untuk digunakan dalam operasi berkaitan bencana,” jelasnya.
KLN berkata, pihaknya juga mengambil beberapa langkah bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung status rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi, termasuk mendapatkan taklimat daripada anggota SMART yang terlibat dalam operasi di Nepal.
Pasukan SMART yang tiba semula di Malaysia hari ini akan memberikan taklimat kepada kementerian berhubung penugasan serta maklumat yang diperoleh sepanjang berada di lapangan.
Pada masa sama, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan meneruskan komunikasi secara langsung dengan National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA) serta agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan.
“Ia antara lain membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan dan melaksanakan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan serta setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal,” ujarnya.
Usaha mendapatkan maklumat turut melibatkan perkembangan di China apabila Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China yang berkaitan.
Langkah itu bertujuan mendapatkan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana berkenaan, selain mengenal pasti sebarang perkembangan yang boleh membantu menentukan status mereka.
Artikel lain:Banjir Nepal: Tak mahu terburu-buru! Biar NADMA buat penilaian langkah seterusnya – Tok Mat
Dalam pada itu, KLN merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal dan pihak berkuasa negara berkenaan atas segala kerjasama serta bantuan yang diberikan sepanjang penugasan SMART.
Penghargaan sama turut ditujukan atas kerjasama berterusan yang diberikan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dalam usaha mendapatkan perkembangan berkaitan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
Sumber: Berita Harian (Noor Atiqah Sulaiman)






