Keluarga Wan Ahmad Faris akur kes diklasifikasi NFA

6 Jul 2026 • 4:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keluarga Wan Ahmad Faris akur kes diklasifikasi NFA
Selepas melalui penantian panjang untuk mendapatkan jawapan berhubung kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris, keluarganya akhirnya akur dengan keputusan AGC yang mengklasifikasikan kes itu sebagai NFA kerana tiada individu dapat dipertanggungjawabkan.

KOTA BHARU – Selepas melalui penantian panjang untuk mendapatkan jawapan berhubung kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, keluarganya akhirnya akur dengan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan kes itu sebagai No Further Action (NFA) kerana tiada individu dapat dipertanggungjawabkan.

Ibu Allahyarham, Ruhani Hussain, 71, berkata, keluarga menghormati keputusan tersebut walaupun siasatan forensik sebelum ini menemui tompokan darah daripada DNA individu lain pada pakaian Allahyarham.

Menurut beliau, pihak berkuasa memaklumkan penemuan itu tidak mencukupi untuk mengenal pasti pelaku atau membuktikan penglibatan mana-mana individu dalam menyebabkan kematian Allahyarham.

"Sehubungan itu, keluarga mengambil maklum dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh AGC," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Ruhani turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkuasa dan agensi yang terlibat dalam menjalankan siasatan sepanjang tempoh kes berkenaan.

Ujarnya, keluarga juga berterima kasih kepada barisan peguam yang memberikan khidmat guaman, nasihat serta komitmen tinggi dalam membantu mereka sepanjang proses siasatan.

"Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada seluruh rakyat Malaysia, ahli keluarga, sahabat handai dan pihak media yang tidak putus-putus mendoakan serta memberikan sokongan kepada keluarga sejak hari pertama sehingga kini," katanya.

Beliau turut mendoakan agar ALLAH SWT mengampuni dosa Allahyarham Wan Ahmad Faris, mencucuri rahmat ke atasnya serta menempatkan beliau dalam kalangan orang beriman.

Terdahulu pada 14 April lalu, selepas lebih sedekad menunggu, keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris akhirnya menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan defendan untuk membatalkan saman difailkan sekali gus membuka kepada ruang perbicaraan penuh kes tersebut.

Pada 2013 lalu Wan Ahmad Faris yang merupakan pelajar di sebuah sekolah maahad tahfiz di Kok Lanas ditemukan mati dalam keadaan tergantung di kawasan tandas.

Ruhani berkata, perbicaraan itu memberikan sinar baharu buat dia dan suami, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 81, dalam mendapat keadilan bagi membela kematian anaknya itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved