Kelvin Ang dilantik sebagai CEO baharu Prudential Assurance Malaysia Berhad

08/09/2025 - 16:14
Kelvin Ang Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 8 Sept – Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) melantik Kelvin Ang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu bagi perniagaan insurans hayat syarikat itu di Malaysia.
PAMB dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu adalah langkah penting dalam memperkukuh strategi pertumbuhan serta mempercepat transformasi syarikat insurans tersebut.
Kelvin yang juga rakyat Malaysia, mempunyai lebih 26 tahun pengalaman dalam industri insurans dengan rekod cemerlang memimpin pasukan di beberapa negara Asia termasuk Indonesia, Vietnam, China, Hong Kong dan Malaysia.
Beliau berpengalaman luas dalam pembangunan agensi, transformasi perniagaan dan teknologi, penggabungan serta pengambilalihan, selain terbukti berjaya mendorong kecekapan organisasi.
Sebelum ini, Kelvin berkhidmat sebagai Presiden dan CEO AIA Filipina, di mana beliau mengetuai transformasi perniagaan dan budaya syarikat berkenaan.
Selain itu, beliau turut memainkan peranan penting dalam integrasi agensi di Malaysia serta memacu peluasan pasaran di Hong Kong, China dan Vietnam dengan penekanan terhadap pendigitalan.
Dalam peranan baharu ini, Kelvin akan melapor terus kepada CEO Serantau Prudential bagi Malaysia, Indonesia dan Vietnam, John Cai yang bertanggungjawab terhadap bahagian Agensi.
Sementara itu, John berkata, pelantikan Kelvin merupakan satu langkah tepat memandangkan pengalaman kepimpinan beliau yang luas di Asia.
“Beliau membawa rekod kepimpinan lebih dua dekad dengan keupayaan membuktikan kejayaan dalam transformasi perniagaan, pertumbuhan strategik serta kecekapan organisasi.
“Wawasan dan pendekatan yang diamalkan Kelvin akan membantu Prudential mengukuhkan kehadiran di Malaysia selain merealisasikan matlamat Syarikat,” katanya.
Beliau berkata, sebagai CEO Prudential Assurance Malaysia Bhd, Kelvin akan memacu penjajaran semula strategi syarikat, memperkukuh pertumbuhan serta bekerjasama rapat dengan pasukan pengurusan kanan untuk mempercepat perjalanan transformasi Prudential.
Dalam pada itu, Kelvin berkata, beliau sangat berbesar hati apabila dilantik sebagai CEO baharu Prudential Assurance.
“Prudential mempunyai legasi kukuh dan saya teruja untuk bekerjasama dengan pasukan berbakat bagi mempertingkatkan fokus pelanggan serta mendorong pertumbuhan mampan.
“Saya berharap dapat membina di atas asas yang kuat ini untuk terus berkhidmat kepada pelanggan, komuniti dan rakan kongsi kami di seluruh Malaysia,” katanya.- DagangNews.com
standard
