Kem Hobart: Dua lagi tentera cedera ketika latihan

30 Jun 2026 • 2:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kem Hobart: Dua lagi tentera cedera ketika latihan
Adzli ketika ditemui media di Pondok Polis Jeniang pada Selasa.
Image from: Kem Hobart: Dua lagi tentera cedera ketika latihan
Lokasi dua tentera cedera ketika menjalani latihan.
Image from: Kem Hobart: Dua lagi tentera cedera ketika latihan
Adzli (tengah) melawat Pondok Polis Jeniang pada Selasa.

GURUN – Dua anggota tentera cedera di bahagian kaki ketika menjalani latihan menembak di Kem Hobart di sini dipercayai akibat masalah teknikal ketika mengendalikan senjata dalam kejadian pada Isnin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian kira-kira 6.05 petang itu, seorang jurulatih berpangkat Sarjan berusia 35 tahun terpaksa menerima lapan jahitan di bahagian paha kanan berhampiran lutut.

Menurutnya, seorang lagi mangsa iaitu penembak berpangkat Koperal berusia 29 tahun cedera di bahagian pangkal lutut kiri dan masih menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

"Siasatan awal mendapati kecederaan dialami kedua-dua mangsa bukan berpunca daripada tembakan peluru, sebaliknya berkemungkinan daripada serpihan objek atau bahan asing yang terpelanting selepas berlaku letupan pada bahagian senjata berkenaan.

**media[3566911]**

“Ketika latihan, senjata itu mengalami stoppage atau terhenti dengan sendiri. Mengikut prosedur operasi standard (SOP), tindakan keselamatan telah diambil dengan mengosongkan senjata dan meletakkannya dalam keadaan selamat namun ketika pemeriksaan dilakukan, ada 'part' senjata itu tiba-tiba meletup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Pondok Polis Jeniang di sini pada Selasa.

Menurutnya, doktor mengesahkan kecederaan mangsa bukan disebabkan tembakan.

Difahamkan, kejadian berlaku semasa latihan disertai lebih kurang 300 anggota dari sebuah kem di Perlis bermula 28 Jun dan dijadualkan berakhir Khamis ini, melibatkan pelbagai fasa termasuk penggunaan senjata ringan dan berat.

Adzli berkata, pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pakar persenjataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.

**media[3566913]**

Menurutnya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960.

Sebelum ini, media melaporkan dua tentera terkorban akibat terkena letupan bom ketika menjalani latihan di kem yang sama pada 16 Jun lalu.

Menurut Adzli, siasatan berhubung insiden letupan bom telah selesai dan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

“Siasatan kes bom sebelum ini selesai di peringkat polis. Bagaimanapun siasatan terperinci berkaitan aspek teknikal diserahkan kepada pihak tentera,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan kerja-kerja naik taraf di Balai Polis Jeniang sedang berjalan bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan operasi anggota.

Oleh demikian, Balai Polis Jeniang ditutup sementara untuk orang awam dan sebarang urusan berpindah ke Pondok Polis Jeniang bermula 2 Julai nanti.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved