Insiden Tak Bai: Polis sahkan kawalan ketat sempadan

LocalPolitics
30 Jun 2026 • 4:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Insiden Tak Bai: Polis sahkan kawalan ketat sempadan
Adzli ketika mengadakan lawatan ke Pondok Polis Jeniang, pada Selasa.

GURUN - Polis Kedah mengesahkan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand berada pada tahap tinggi susulan perkembangan situasi keselamatan di selatan Thailand, termasuk insiden letupan di Tak Bai.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kawalan keselamatan di pintu sempadan itu telah dipertingkatkan sejak Februari lalu susulan perkembangan geopolitik dan konflik di Asia Barat.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja bertujuan menangani ancaman keselamatan, malah membendung pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan migran dan bahan api.

“Sejak Februari lagi, disebabkan perkembangan geopolitik dan perang di Timur Tengah, kita memang telah memperketat kawalan sempadan.

“Bukan sahaja dari sudut ancaman anasir subversif, tetapi juga bagi membendung ketirisan, penyeludupan migran yang berterusan serta penyeludupan bahan api,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Pondok Polis Jeniang, di sini pada Selasa.

Jelas belau, polis sentiasa memantau perkembangan semasa dan bersedia meningkatkan kawalan sekiranya menerima maklumat risikan yang memerlukan tindakan tambahan.

“Setakat ini kawalan memang sudah ketat. Namun, apabila berlaku apa-apa kejadian, kita tidak boleh berasa selesa. Jika terdapat sebarang maklumat risikan yang memerlukan kawalan dipertingkatkan lagi, kita akan lakukan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan pelbagai guna dinaiki mereka terkena letupan bom buatan sendiri yang dipercayai ditanam di tepi jalan di Persimpangan Sapom, Daerah Tak Bai, di Narathiwat.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved