Kem TV PSS bakal dilaksanakan tahun ini

12 May 2025 • 11:50 AM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Peserta belajar merakam dengan sudut-sudut kamera yang diajar oleh tenaga pengajar.

Bagi merealisasikan permintaan para guru mahupun pelajar, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bersetuju mengadakan kem TV PSS supaya peserta latihan industri didedahkan dengan lebih mendalam dunia media.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Mohammad Nuri Hussin berkata, ia semestinya dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini supaya peserta merasai pengalaman sebenar bekerja dalam bidang berkenaan.

image is not available
Setiap kumpulan berbincang dan melakukan tugasan bersama-sama.

“Insya-ALLAH, kita adakan kem TV PSS yang dikendalikan oleh Sinar Bestari dan Sinar Harian untuk pelajar mendapat lebih banyak ilmu daripada orang-orang berpengalaman,” katanya.

Mohammad Nuri melahirkan rasa bangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang menyertai program ini.

Katanya, penyertaan dalam program seperti ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk mempelajari ilmu di luar bilik darjah, malah mengasah bakat dan kreativiti mereka dalam bidang media yang semakin relevan masa kini.

image is not available
Mohammad Nuri (kiri) memberikan ucapan semasa Latihan Industri TV PSS.

“Apabila menonton video-video yang mereka hasilkan, saya benar-benar kagum dengan kreativiti masing-masing.

“Saya percaya, jika mereka diberi lebih masa dan peluang, hasilnya akan jauh lebih hebat dan berkualiti tinggi,” katanya.