
KUALA LUMPUR - Penguasaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan graduan bukan sahaja perlu melangkaui tahap kesedaran dan penggunaan asas teknologi itu, malah perlu diukur serta dibuktikan selaras dengan perubahan keperluan pasaran pekerjaan.
Keperluan itu antara penekanan diberi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi pengenalan AI Skills Passport, satu pendekatan membolehkan kompetensi AI individu dikenal pasti, dinilai dan dipadankan dengan kemahiran yang semakin diperlukan industri.
Inisiatif berkenaan diperkenalkan menerusi program AI Skills Passport: The Future of Work di UTM Hotel and Residence, di sini, yang menghimpunkan pelajar, pendidik serta wakil industri bagi membincangkan kesiapsiagaan tenaga kerja menghadapi perubahan didorong AI.
AI Skills Passport turut menghubungkan tahap kemahiran seseorang dengan perubahan keperluan pekerjaan menerusi Future Job Intelligence Engine, sekali gus memberi gambaran mengenai jurang antara kemahiran sedia ada dengan kompetensi yang diperlukan bagi pekerjaan masa depan.
Pendekatan itu dilihat penting ketika penggunaan AI semakin merentasi pelbagai sektor dan profesion, menyebabkan keperluan terhadap tenaga kerja yang memahami serta mampu mengaplikasikan teknologi berkenaan tidak lagi terhad kepada golongan pakar AI.
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, berkata, persediaan menghadapi perubahan dunia pekerjaan memerlukan kerjasama rapat antara institusi pendidikan dan industri supaya kemahiran yang dibangunkan dalam kalangan pelajar kekal relevan.
“Persediaan untuk masa depan pekerjaan bukan hanya mengenai menghasilkan lebih ramai pakar AI, tetapi juga membangunkan tenaga kerja yang lebih luas dan bersedia menggunakan AI.
“Universiti boleh menyediakan asas, manakala industri membantu memastikan kemahiran yang dibangunkan kekal berkait rapat dengan realiti tempat kerja,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Program itu turut menampilkan ucaptama oleh Public Policy Advocate, bekas Ahli Parlimen dan Pengerusi Suluh Centre, Nurul Izzah Anwar, bertajuk Preparing Malaysia’s Talent for an AI-Driven Future of Work: Navigating the Risks and Opportunities of Artificial Intelligence Systems.
Selain penilaian kompetensi, AI Skills Passport memperkenalkan pendekatan pembangunan berterusan menerusi 12-Month AI Workforce Readiness Loop, yang merangkumi latihan bersasar, penilaian semula kemahiran dan pengukuran hasil pembangunan tenaga kerja.
Pendekatan itu membolehkan pembangunan kemahiran AI dilihat sebagai proses berterusan, bukannya bergantung kepada penyertaan dalam program latihan secara sekali-sekala.
Pelajar dan pendidik turut diberikan pendedahan praktikal mengenai penggunaan AI Skills Passport, termasuk bagaimana penilaian kompetensi boleh membantu proses pembelajaran, pengajaran dan persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Program berkenaan merupakan kerjasama UTM menerusi Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTMSPACE Services Sdn. Bhd., Malaysia Artificial Intelligence Consortium (MAIC), Twenty30 Digital Sdn. Bhd. dan Nation Dev.
Menerusi pendekatan itu, penekanan bukan sahaja diberikan kepada penghasilan bakat dengan pengetahuan mengenai AI, tetapi turut memastikan kompetensi berkenaan dapat dikenal pasti, dinilai dan disesuaikan, selaras keperluan industri yang berubah dengan pantas. - Getaran, 6 Oktober 2026






