Permit syarikat bas yang terlibat dalam nahas tragis di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, yang mengorbankan 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah dibatalkan serta-merta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata meskipun terdapat prosedur rayuan berhubung pembatalan permit, namun dalam kes ini sebarang rayuan tidak akan dipertimbangkan.
Dalam pada itu, memetik Berita Harian, Anthony berkata pemilik syarikat melakukan dua kesalahan besar iaitu permit pengendalian bas dipajak kepada pihak ketiga dan pengendalinya tidak mengaktifkan GPS.
“Pemilik memajak kepada pihak ketiga. Pemilik beralamat di Kedah dan dipajakkan kepada pengendali di Kelantan dan dibayar RM500 sebulan.
“Ini melanggar syarat. Apabila mereka diminta serahkan laporan GPS, mereka tak dapat (serahkan) sebab GPS pun tak diaktifkan,”katanya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Isnin lalu, 15 pelajar dari UPSI disahkan meninggal dunia manakala 27 lagi cedera dalam satu kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak.
The post Kemalangan bas UPSI: Permit syarikat bas dibatalkan serta-merta appeared first on The Reporter.





