Kemalangan Elak Kera: Percutian Berakhir Tragedi, Suami Hilang Isteri & Ibu Sekelip Mata

1 Sep 2024 • 9:34 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kemalangan Elak Kera: Percutian Berakhir Tragedi, Suami Hilang Isteri & Ibu Sekelip Mata

Percutian sempena Hari Merdeka berakhir tragedi buat Mohd Fadzil Othman, 27, apabila kehilangan dua insan tersayang dalam sekelip mata.

Dalam kemalangan di Simpang Tiga Kuala Bakong, Jalan Malau-Kuala Ketil pada petang Sabtu, Mohd Fadzil kehilangan ibunya, Omi Kalsom Man, 69, dan isterinya, Siti Norhaslisa Kamarudin, 26.

“Hari itu (Sabtu) suasana cukup gembira, terutamanya ibu yang telah lama merindui untuk bercuti bersama saya, isteri dan dua cucunya.

“Segala-galanya nampak begitu sempurna sebelum perjalanan ke Kulim. Sebenarnya kami tidak merancang untuk bercuti, ia berlaku secara spontan.

“Ibu saya sangat teruja pada hari itu (kejadian) dan kami semua sangat seronok mandi sungai,” katanya ketika ditemui di kediaman di Kampung Haji Ngah, Bedong, pada Ahad.

Mohd Fadzil yang juga pekerja am di sebuah syarikat komponen kenderaan, terselamat bersama anak lelakinya, Lufh Mikhael, 3, dalam insiden tersebut.

Difahamkan, kereta Toyota Vios yang dipandu Mohd Fadzil terbabas ke kawasan semak ketika cuba mengelak seekor kera yang melintas jalan, menyebabkan isteri dan ibunya maut di tempat kejadian.

Walaupun kejadian itu memberi tamparan hebat buat dirinya, dia reda dengan ketentuan takdir.

“Dalam sekelip mata, segala-galanya berubah. Saya sedang memandu ketika itu dan secara tiba-tiba seekor kera melintas, saya cuba mengelak daripada melanggar kera itu.

“Saya hilang kawalan dan kereta dipandu melencong ke laluan sebelah lalu terbabas.

“Apa yang saya ingat, selepas itu kereta masuk ke dalam longkang selepas berpusing beberapa kali,” katanya.

Mohd Fadzil segera mencari semua ahli keluarganya selepas kemalangan dan sempat membantu isterinya mengucap dua kalimah syahadah.

“Isteri saya duduk di tempat duduk penumpang hadapan bersama anak perempuan, ibu saya berada di tempat duduk belakang. Ketiga-tiga mereka tercampak keluar dari kereta.

“Saya nampak ibu selepas kemalangan tetapi tidak nampak isteri dan anak perempuan saya. Tidak lama selepas itu, orang ramai jumpa mereka dan serahkan anak perempuan kepada saya, dia terselamat cuma cedera.

“Malangnya, isteri saya tidak berjaya diselamatkan tetapi saya sempat mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah sebelum meninggal dunia,” katanya.

Anak bongsu daripada lapan beradik itu juga percaya bahawa isterinya telah berusaha melindungi anak perempuan mereka dengan memeluknya, yang mungkin menyebabkan kecederaan serius akibat hentakan kemalangan itu.

“Saya hanya fikirkan keadaan anak perempuan saya, Lufiya Mikayla, 2, yang kini sedang bertarung nyawa dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar,” ujarnya.

Tambah Mohd Fadzil, jenazah isterinya telah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Padang Temusu pada jam 10 pagi, manakala jenazah ibunya dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Haji Ngah pada jam 11 pagi Ahad.

“Saya perlu failkan laporan polis berhubung kemalangan itu sebelum ke HSB untuk menjaga anak perempuan saya.

“Kedua-dua anak saya sangat rapat dengan ibu mereka, terutamanya anak perempuan.

“Saya juga akan merindui masakan ibu saya, terutama gulai kegemaran saya, kini hanya akan jadi kenangan,” katanya.

Walaupun dunia dirasakannya seakan runtuh, Mohd Fadzil mengakui dia perlu tabah menerima takdir demi kebaikan anak-anaknya.

“Saya perlu terima kenyataan walaupun pahit, saya perlu jadi kuat untuk besarkan anak saya, mereka masih kecil,” tambahnya.

Sumber: Sinar Harian