KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan maut membabitkan seorang pegawai tentera yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk pada Khamis.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal berhubung insiden tersebut dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.
"Pendirian kementerian adalah siasatan bebas perlu dijalankan tanpa mengira status atau latar belakang pelaku.
"Biar polis lakukan siasatan. Saya tak dapat nak menentukan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Khamis.
Mohamed Khaled berkata, walaupun kes berkenaan membabitkan anggota dari pasukan keselamatan negara, beliau mahu insiden itu disiasat dengan telus oleh pihak polis.
"Walaupun itu tentera, tapi biarlah polis lakukan siasatan," katanya ringkas.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga Bangaldesh maut manakala rakan senegaranya iaitu seorang wanita cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 1.9 Lebuhraya Maju Expressway (MEX).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, kejadian kira-kira jam 5.38 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna MPV Perodua Alza (e-hailing) dan sebuah Ford Fiesta dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak.
Sasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh MPV yang dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun.
Kenderaan berkenaan membawa dua penumpang warga Bangladesh berusia 22 dan 20 tahun yang baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penumpang lelaki yang duduk di bahagian tengah maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala penumpang wanita cedera kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Mohd Zamzuri berkata, ujian pernafasan alkohol mendapati pemandu Ford Fiesta melebihi had dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.






