MINDEF Santuni Veteran ATM Di Daro Melalui Program Peduli Veteran MADANI

LocalPolitics
16 Apr 2026 • 1:56 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini meneruskan Jelajah Program Peduli Veteran MADANI (PVM) 2026 di Daerah Daro, Bahagian Sibu sebagai usaha berterusan memperkukuh kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Jelajah tersebut diketuai Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari yang turun padang menyantuni veteran serta keluarga mereka khususnya dalam kalangan yang memerlukan perhatian seperti golongan asnaf, pesakit kronik, balu dan keluarga Orang Kurang Upaya (OKU).

image is not available

Menurut MINDEF, pelaksanaan PVM melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) menjadi antara pendekatan utama kementerian dalam memahami realiti kehidupan veteran secara lebih dekat.

“Melalui program ini, kementerian dapat menilai keperluan sebenar veteran ATM, termasuk aspek kesihatan, ekonomi dan sokongan sosial, sekali gus memperkukuh dasar serta inisiatif yang lebih menyeluruh dan inklusif,” kata MINDEF dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam siri jelajah kali ini, seramai 11 veteran di sekitar Daro dan Matu disantuni menerusi lawatan kebajikan yang turut melibatkan penyaluran pelbagai bantuan antaranya keperluan asas, peralatan perubatan serta bantuan baik pulih kediaman.

image is not available

image is not available

Selain itu, MINDEF turut mengambil kesempatan menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan veteran, di samping mengagihkan 100 Bakul Rahmah kepada persatuan veteran tempatan.

MINDEF menegaskan komitmen untuk memastikan kebajikan veteran ATM terus menjadi keutamaan, terutama bagi mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Tiada veteran ATM yang harus dipinggirkan. Usaha memperluas capaian program seperti ini akan diteruskan agar kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,” ujarnya.

image is not available

Inisiatif berkenaan juga dilihat selaras dengan agenda memperkukuh kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan (WKP), khususnya dalam memastikan kebajikan veteran dan keluarga mereka terus dibela secara berterusan.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Sophian Isswandy Ismail; Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Dato’ Jafri Sulaiman; Pengarah JHEV ATM Cawangan Sarawak, Mejar Steven anak Kadir; wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sibu serta persatuan veteran ATM sekitar Sibu.

The post MINDEF Santuni Veteran ATM Di Daro Melalui Program Peduli Veteran MADANI appeared first on Borak Daily.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved