
IPOH: Video kemalangan membabitkan dua kenderaan dan sebuah kereta peronda polis di laman Facebook ‘B40 Buat Perangai Apa Hari Ini’ adalah visual lama yang ditularkan kembali.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata kes itu sudah selesai dan mahkamah telah menjatuhi hukuman ke atas pesalah empat tahun lepas.
“Kita mengesan satu hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun bernama ‘Jack’ dalam laman sosial Facebook pada kira-kira 3 petang tadi. Hasil siasatan mendapati kemalangan melibatkan dua kenderaan dan sebuah kereta peronda polis berlaku pada 21 Jun 2019,” menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata kemalangan itu berlaku di lampu isyarat di Jalan Mempisang, Seri Manjung ketika kereta peronda polis yang membawa seorang tahanan lelaki dari arah Hospital Seri Manjung ke Balai Polis Sitiawan telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis Honda Civic yang menghala ke Kampung Cina.
“Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga yang tidak sempat menekan brek telah melanggar belakang kereta peronda polis berkenaan,“ katanya sambil menambah susulan siasatan yang dijalankan, Timbalan Pendakwa Raya telah mengarahkan agar pemandu Honda Civic didakwa kerana tidak memberi keutamaan lalu lintas kepada kenderaan polis, bomba dan ambulans yang sedang bergerak dalam kecemasan.
Justeru, Mohamed Norden mengingatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dulu kesahihan dan kebenaran sesuatu berita sebelum membuat perkongsian di mana-mana platform di sosial media serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh membimbangkan masyarakat. - Bernama


