
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Abang sulung Allahyarham Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, iaitu mangsa kemalangan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 (arah timur) di kawasan Lanchang, Temerloh, memilih untuk menamatkan operasi Secangkir Cafe milik adiknya meskipun mempunyai pengalaman mengurus premis perniagaan makanan dan minuman (F&B) serta mengetahui selok-belok pengendalian operasi kafe.
“Saya pun tidak sampai hati nak teruskan. Legasi itu dah tak ada,” katanya.
Menerusi pengumumannya, Mohd Hafiz Rifqi Mohd Kazwan, 33, di laman Threads semalam, Secangkir Cafe akan secara rasmi ditutup esok (5 September) dan hari operasi terakhirnya adalah pada hari ini (4 September) bermula jam 3 petang hingga 9 malam sebelum keluarga menyerahkan premis berkenaan kepada penyewa seterusnya.
Abang Mangsa Mungkin Akan Pertimbang Teruskan Bisnes Secangkir Cafe Jika Arwah Ada Waris
Mohd Hafiz berkata, salah satu faktor mengapa dia memilih untuk tidak meneruskan perniagaan tersebut adalah kerana dia tidak mempunyai asbab yang kukuh untuk meneruskan bisnes berkenaan memandangkan tiada waris yang akan meneruskan legasi kafe itu nanti.
“Sebenarnya bukan kami (keluarga) tak boleh meneruskan perniagaan itu, tetapi saya sudah tidak mahu meneruskannya.
“Tiada gunanya untuk saya teruskan kerana saya sendiri tidak tahu untuk siapa saya perlu teruskan.
“Kalau arwah ada waris atau anak, mungkin saya akan pertimbangkan untuk meneruskannya. Tetapi dalam keadaan sekarang, tiada sebab untuk kami meneruskannya,” katanya dipetik Harian Metro.
‘Perniagaan Tak Bergantung Kepada Arwah Sahaja, Staf Lain Masih Boleh Kendalikan Perniagaan’ – Si Abang
Jelasnya, operasi pernigaan itu sebenarnya boleh diteruskan dan prosedur operasi standard (SOP) dan resipi kafe itu sudah pun siap tersedia untuk semua staf yang lain.
“Saya juga sudah gunakan sistem yang sama di kedai adik saya. Perniagaan itu tidak bergantung kepada arwah seorang kerana sudah ada SOP untuk staf jalankan operasi.
“Jadi, arwah sebenarnya boleh pergi ke mana-mana dan meninggalkan kedai tanpa menjejaskan operasi,” katanya.
View on Threads
“Jiwa, Nyawa & Roh Sesebuah Tempat Itu Sudah Tiada’ – Mohd Hafiz
Bagaimanapun jelas Mohd Hafiz, pemergian adiknya memudarkan identiti kafe itu sendiri.
“Jiwa, nyawa dan roh kafe itu sudah tiada.
“Saya kenal arwah sebagai seorang yang membuat kek dengan penuh kasih sayang. Dia juga selalu berkongsi dalam kumpulan WhatsApp keluarga mengenai kek yang dihasilkannya setiap minggu.
“Arwah sangat kreatif. Saya sendiri pernah meminta arwah memberi lebih tumpuan kepada produk kek berbanding kopi kerana kek adalah keistimewaan utama perniagaannya,” katanya.
View on Threads
Operasi Terakhir Hari Ini Bertujuan Untuk Habiskan Semua Stok Makanan & Minuman Yang Ada
Untuk info, Secangkir Cafe mula beroperasi pada 2024 di Kuantan, Pahang.
Mohd Hafiz berkata, jualan terakhir pada hari ini diadakan bagi menghabiskan semua stok makanan dan minuman yang masih ada manakala peralatan lain seperti meja, kerusi, ketuhar, mesin kopi dan kelengkapan lain akan ditinggalkan dan diberikan kepada penyewa baharu.
View on Threads
‘Doa Orang Ramai Ubat Kesedihan Kami’ – Abang
Sementara itu, Mohd Hafiz turut menghargai semua sokongan, ucapan dan doa diterimanya daripada orang ramai sepanjang melalui fasa kehilangan adiknya sekeluarga.
“Saya nak ucap terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya sangat suka membaca doa dan komen-komen baik yang diberikan.
“Saya rasa semua doa itu sedikit sebanyak dapat mengubat kesedihan kami. Alhamdulillah, walaupun adik sudah pergi, ramai rakyat Malaysia mendoakannya,” katanya.
Pada 31 Ogos lalu, Nur Atiqah bersama suami, Muhammad Nazatul Nazmi, 32, serta anak mereka berusia empat tahun dilaporkan terkorban dalam satu kemalangan membabitkan 11 kenderaan di LPT 1 arah Timur di Lancang termasuklah sebuah lori tangki, bas ekspress, Proton S70 dan banyak lagi.
Berdasarkan cerita daripada ibu saudara salah seorang mangsa, jenazah berada dalam keadaan sempurna meskipun keretanya remuk dan hancur.
Baca Artikel Berkaitan: Jenazah Mangsa Kemalangan Dengan Lori Tangki Di LPT Sempurna




